Denggi: Terengganu catat 468 kes, dua kematian

Dr Mohd (dua dari kanan) bersama Setiausaha Politik Yang Berhormat Menteri Kesihatan, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (tengah) mendengar penerangan oleh salah seorang peserta pameran sempena Program Gotong-royong Mega Perangi Aedes Siri 2 peringkat negeri di Taman Purnama, Kampung Tok Adis, Kuala Ibai di sini
Dr Mohd (dua dari kanan) bersama Setiausaha Politik Yang Berhormat Menteri Kesihatan, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (tengah) mendengar penerangan oleh salah seorang peserta pameran sempena Program Gotong-royong Mega Perangi Aedes Siri 2 peringkat negeri di Taman Purnama, Kampung Tok Adis, Kuala Ibai di sini
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Kes demam denggi di Terengganu merekodkan peningkatan iaitu sejumlah 468 kes dari Januari hingga Rabu lalu berbanding 296 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohd Jusoh berkata, sepanjang tempoh itu juga, dua kes kematian didaftarkan di negeri ini akibat denggi.

Beliau berkata, daerah Kuala Terengganu mencatatkan kes tertinggi iaitu 211 kes diikuti daerah Marang (69 kes), Kuala Nerus (51 kes), Dungun (45 kes), Kemaman (30 kes), Hulu Terengganu (29 kes), Besut (22 kes) dan Setiu (11 kes).

"Semua daerah menunjukkan peningkatan kes berbanding tempoh sama tahun lepas kecuali daerah Besut yang mencatatkan pengurangan bilangan kes berbanding tahun lepas.

"Sehingga Rabu lalu, terdapat 11 episod wabak berlaku di negeri ini iaitu empat episod masing-masing di daerah Kuala Terengganu dan Marang serta tiga episod di Kuala Nerus.

"Manakala daerah-daerah lain masih mengekalkan sifar wabak denggi. Bagaimanapun semua episod wabak sudah pun tamat dan merupakan wabak terkawal," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Gotong-royong Mega Perangi Aedes Siri 2 peringkat negeri di Taman Purnama, Kampung Tok Adis, Kuala Ibai di sini.

Sementara itu, Dr Mohd berkata, dalam tempoh Januari sehingga Ogos lalu, sebanyak 133,485 premis sudah diperiksa yang mana sejumlah 2,260 premis dikesan positif pembiakan aedes.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah premis positif pembiakan aedes pula, sebanyak 1,081 premis dikenakan kompaun dan 801 daripadanya sudah menjelaskan kompaun dengan jumlah keseluruhan RM122,550 yang dikutip di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 pindaan 2000.

"Selain itu, kita turut mengeluarkan sebanyak 349 notis atau amaran pembersihan di bawah Seksyen 8 dan sebanyak 129,739 premis sudah dibuat semburan kabus serta 74,348 premis dibuat larvasiding," katanya.