Jerebu: Kedatangan pelancong ke Bukit Bendera terjejas

A
A

GEORGE TOWN - Keadaan jerebu yang semakin teruk pada minggu ini di Pulau Pinang telah menjejaskan kedatangan pelancong terutama satu daripada destinasi paling ikonik di negeri ini, Bukit Bendera.

Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP), Datuk Cheok Lay Leng berkata, berlaku penurunan drastik dalam jumlah kedatangan pelancong walaupun tempoh sekarang adalah musim permintaan luar puncak iaitu ketibaan pelawat merekodkan sekitar 2,000 dan 3,000 sehari.

“Pada 18 September, apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan sangat tidak sihat di Pulau Pinang, kami menganggarkan 1,800 pelawat berbanding hari sebelumnya (17 September) sekitar 2,900 pelawat kerana ia hanya sehari selepas cuti hujung minggu yang panjang dan Hari Malaysia,” katanya ketika dihubungi.

Pada 18 September, Pulau Pinang dilanda jerebu paling teruk dengan bacaan IPU di Minden mencatatkan 234 dan 263 di Balik Pulau.

Cheok juga berkata, The Habitat ditutup hari itu berikutan jerebu tetapi perkhidmatan kereta api funikular kekal beroperasi kerana penduduk Bukit Bendera menggunakannya sebagai pengangkutan awam.

Pada 19 September, tinjauan Bernama di Bukit Bendera pada 5 petang mendapati pemandangan dilitupi jerebu tebal menyebabkan Bangunan Komtar sukar dilihat dan jambatan Pulau Pinang tidak kelihatan.

Warga Singapura, Mohd Shajahan berkata, beliau keberatan untuk membawa keluarganya ke Bukit Bendera kerana mengetahui mereka tidak dapat menikmati pemandangan indah.

Bagaimanapun beliau berkata, anak lelakinya, Affan Shajahan, 5, masih teruja untuk merasai pengalaman pertama menaiki kereta api funikular.

“Ia adalah lawatan kedua saya ke Bukit Bendera tetapi kali pertama melawat pusat peranginan ini bersama keluarga saya.

"Kami tahu kami tidak akan dapat melihat pemandangan indah Pulau Pinang dalam keadaan berjerebu tetapi sekurang-kurangnya kami dapat merasai apa yang ditawarkan di sini seperti cuaca sejuk di pusat peranginan ini,” katanya.

Sementara itu, penduduk tempatan yang dikenali sebagai Hai Hong, 53, berkata, beliau tidak dapat mendaki bukit selama tiga hari berturut-turut berikutan keadaan jerebu yang melanda.

“Biasanya, saya akan mendaki lima hari seminggu di Bukit Bendera bersama teman-teman mendaki saya,” kata lelaki itu kepada Bernama yang bersendirian ketika itu.

Katanya, sama ada teman-teman mendakinya mungkin tidak keluar rumah kerana bimbangkan kesihatan mereka atau mendaki di Empangan Ayer Itam kerana laluan mendaki lebih pendek. - Bernama