Hijaukan kawasan tadahan air dengan pokok hutan

Adly
Adly
A
A
A

MELAKA - Kawasan tadahan air di Melaka akan dihijaukan dengan pokok hutan bagi memastikan kawasan terlibat berfungsi secara berkesan sebagai sebuah kawasan tadahan bagi mengumpul bekalan air diperlukan penduduk di negeri ini.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, bagi merealisasikan usaha itu, tiada lagi tanaman kelapa sawit dibenarkan sekitar kawasan tadahan air dan kerajaan negeri mengarahkan semua jabatan serta agensi kerajaan negeri terlibat supaya menggantikan kelapa sawit dengan tanaman hutan di kawasan itu dalam 10 hingga 20 tahun ini.

Menurutnya, langkah itu perlu dilakukan kerana pokok kelapa sawit memerlukan air yang banyak untuk hidup, dianggarkan keperluan sama dengan seorang manusia dan ini menyebabkan kadar penggunaan air di kawasan itu tinggi yang seterusnya membuatkan kawasan itu gagal menadah air secara berkesan.

“Kalau kita lihat kolam-kolam takungan di Durian Tunggal (di Alor Gajah) itu banyak juga terjejas dengan penanaman kelapa sawit di sekeliling itu. Kita dari tahun lepas sudah ambil tindakan mewartakan kolam takungan itu.

"Kita telah arahkan BKSA (Badan Kawal Selia Air) untuk keluarkan semua yang terlibat dengan (penanaman) kelapa sawit (di kawasan itu) termasuk agensi dan syarikat kerajaan negeri sendiri," katanya kepada Bernama.

Sebagai rekod, terdapat kawasan tadahan air yang dipajak kepada pihak swasta bagi aktiviti komersial seperti tanaman kelapa sawit adalah milik kerajaan negeri, justeru tidak timbul soal pengambilalihan tanah, namun perundingan perlu dijalankan bagi perjanjian pajakan terlibat.

Mengulas mengenai status bekalan air terkini negeri ini, Adly berkata, sehingga semalam, bekalan air di tiga empangan di negeri ini menunjukkan trend penurunan dengan Empangan Jus di Jasin yang mempunyai kapasiti 45,000 juta liter air mempunyai kapasiti semasa sebanyak 18,895 juta liter.

Adly berkata, Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah yang mempunyai kapasiti 32,600 juta liter air mempunyai kapasiti semasa sebanyak 6,270 juta liter dan Empangan Asahan di Jasin yang mempunyai kapasiti 700 juta liter air mempunyai kapasiti semasa sebanyak 210 juta liter.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hanya keupayaan pengeluaran air mentah dan terawat di dua daripada sembilan loji air di negeri ini terjejas iaitu Loji Air Bertam terjejas 24 peratus dan Loji Air Bukit Sebukor terjejas 49 peratus kerana paras air rendah.

"Saya berharap agar semua pihak dapat bersama-sama berusaha untuk menjimatkan penggunaan air serta menggunakan air secara berhemah dan segala kerjasama rakyat di negeri Melaka amatlah saya hargai," katanya. - Bernama