Ajal terkena renjatan ketika kait umpan

Jenazah mangsa yang maut akibat renjatan elektrik ketika mengait umpan. - Foto ihsan pembaca
Jenazah mangsa yang maut akibat renjatan elektrik ketika mengait umpan. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

BACHOK - Seorang pelajar maut terkena renjatan ketika mahu mengait umpan tiruan kailnya yang tersangkut pada wayar elektrik di Kampung Padang Melintang, Tawang, Bachok pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, mangsa, Muhamad Danial Harith Mohamad Satar, 13, ke sawah berkenaan sekitar jam 10.50 pagi.

Menurutnya, mangsa ke sana bersama seorang lagi kenalannya untuk mengait umpan berkenaan yang terlekat pada wayar elektrik.

“Berdasarkan maklumat, mangsa menggunakan buluh panjang yang basah untuk mengait umpan tersebut.

“Mangsa terkena renjatan dan terus tidak sedarkan diri. Rakannya terus memaklumkan kepada keluarga mangsa mengenai kejadian ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kematian tersebut disahkan petugas dari Klinik Kesihatan Beris Kubur Besar sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah.

Dalam pada itu, pelayar Facebook yang mengikuti perkongsian kes kematian pelajar tingkatan satu tersebut turut menasihatkan kaki pancing supaya lebih berhati-hati.

Artikel Berkaitan: