Akta jerebu rentas sempadan: Aplikasikan ciri 'extraterritorial'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dalam merangka Akta Jerebu Rentas Sempadan, Malaysia disaran mengikut contoh Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA) 1977 Amerika Syarikat, apabila negara itu mengamalkan penguatkuasaan secara bidang kuasa luar sempadan atau 'extraterritorial'.

Pakar Undang-Undang Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Hanim Kamaruddin berkata, akta itu misalnya boleh mensabit mana-mana syarikat induk yang berpangkalan di Amerika Syarikat atas jenayah rasuah yang dilakukan oleh anak syarikat di negara lain.

"Oleh itu, Akta Jerebu Rentas Sempadan yang dicadangkan haruslah disediakan peruntukan yang menerapkan konsep sebegini dalam jenayah pencemaran jerebu rentas sempadan.

"Ini membolehkan Peguam Negara Malaysia mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat induk yang berada di Malaysia jika didapati anak syarikat yang berada di luar negara terlibat dalam pencemaran jerebu rentas sempadan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, perkara itu lebih mudah dilaksanakan kerana anak syarikat tersebut mempunyai hubungan secara langsung dengan pejabat induk mereka yang berpangkalan di Malaysia.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin baru-baru ini berkata, kementeriannya hanya menunggu 'lampu hijau' daripada Kabinet bagi mendraf Akta Jerebu Rentas Sempadan.

Dilapor, akta itu adalah untuk mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat Malaysia yang telah mengakibatkan jerebu di luar negara selain menghukum pihak-pihak dari Malaysia yang mempunyai ladang di luar negara yang menyebabkan jerebu supaya diadili di mahkamah Malaysia.

Penggunaan konsep sedemikian sebenarnya sudah wujud di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Hanim berkata, Seksyen 66 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 membolehkan tindakan diambil ke atas rakyat Malaysia yang didapati melakukan jenayah rasuah di luar negara.

Mengulas lanjut, kerajaan juga, kata Hanim, boleh mengambil contoh daripada pengaplikasian Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2014 di Singapura yang memberi kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap entiti atau syarikat yang menyebabkan masalah jerebu di negara itu termasuk syarikat tidak beroperasi atau tidak berdaftar di Singapura.

Bagaimanapun katanya, sekiranya ia dirujuk secara bulat-bulat tanpa dipinda, Malaysia akan menempuh masalah yang sama dalam mendapatkan kerjasama dari negara penyebab, misalnya apabila ingin mendapatkan senarai entiti atau syarikat yang telah menghasilkan jerebu rentas sempadan.

"Ini kerana perbuatan begini boleh dianggap menjejaskan kedaulatan negara penyebab dan boleh mencetus kepada implikasi negatif dalaman dan di peringkat antarabangsa.

"Ini akan secara langsung membantutkan pengaplikasian akta tersebut dalam memastikan penguatkuasaan dijalankan secara efisien," katanya.

Sehubungan itu, Hanim berkata, kerjasama antara negara-negara ASEAN faktor yang amat penting bagi memastikan kelancaran pengimplementasian perundangan dan seterusnya, penguatkuasaan yang efisien bagi sesuatu cadangan penggubalan Akta Jerebu Rentas Sempadan di Malaysia.

Malaysia ketika ini mempunyai undang-undang domestik sahaja iaitu Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan suatu peruntukan khusus untuk melarang pembakaran terbuka telah digubal mengikut Seksyen 29A selepas insiden jerebu pada tahun 1997-1998.

Hanim menambah, akta yang akan dirangka itu nanti juga mungkin boleh memperuntukkan beberapa jenis hukuman seperti denda yang tinggi, hukuman penjara atau sebatan, manakala dari segi pentadbiran ia lebih kepada pembayaran bagi kerja-kerja pembersihan, pemadaman api dan pemulihan tanah selain hukuman sivil seperti ganti rugi dan pampasan.

Sementara itu Profesor di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, sekiranya akta tersebut hanya bertujuan untuk mengambil tindakan terhadap syarikat Malaysia yang menyebabkan jerebu di luar negara, ia mungkin sukar dilaksanakan.

"Bayangkan jika Indonesia ambil tindakan undang-undang, takkan Malaysia nak ambil tindakan lagi. Bukti-bukti semua ada di sana dan beban pembuktian pun sangat sukar kerana kita perlu dapat kerjasama negara Indonesia dan perlu panggil saksi-saksi dari sana," katanya.

Beliau berkata, kaedah paling efektif ialah bagi Malaysia dan Indonesia duduk bersama bagi membincangkan apa bentuk hukuman sesuai terhadap kesalahan yang telah dibuat, dengan Malaysia memberikan kerjasama sepenuhnya jika diperlukan.

"Misalnya jika ia berlaku di Indonesia dan pelaku-pelaku tersebut (yang akibatkan jerebu) adalah perusahaan daripada Malaysia, maka hukuman lebih berat boleh dikenakan sesuai dalam kerangka perundangan di Indonesia, biar negara itu adili sendiri," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara, Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff pula mencadangkan pewujudan satu kaukus antara Ahli Parlimen ASEAN terutama sekali negara terlibat dalam isu jerebu seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya, ini kerana isu itu bukan sahaja melibatkan kerajaan dengan kerajaan (G2G) sebaliknya turut melibatkan rakyat kerana ia kini tidak boleh lagi hanya dipandang sebagai isu alam sekitar, namun turut membabitkan keselamatan negara dan hak asasi rakyat.

"Jadi ia perlu kembali melibatkan parlimen-parlimen yang dipilih oleh rakyat kerana pimpinan ini mewakili kawasan pilihan raya masing-masing yang rata-rata rakyat mereka alaminya (jerebu). Saya yakin pendekatan ini akan beri satu aspirasi dan komitmen baharu,” katanya. - Bernama