BMF dan pesan Imam Ali

A
A
A

KETIKA sampai di pondok pengawal Pangsapuri Vista, saya terpandang Pak Salim yang sedang duduk di wakaf. Kelihatan beliau berseorangan sahaja melayani perasaan sambil menghembus asap rokok daun.

Kebiasaannya memang Pak Salim ada di situ termenung setiap petang sambil memandang Bangunan KL Gateway di depan. Kadangkala beliau ditemani oleh Imam Halim, tetapi pada petang itu tidak kelihatan pula kelibat pak imam.

Sebenarnya lama juga saya tidak berjumpa beliau setelah dipindahkan semula ke Pulau Pinang. Sehinggalah pada hari tersebut, ketika saya datang ke ibu pejabat dan pulang ke bilik sewa terserempak pula dengan beliau.

Saya terus melabuhkan punggung di kerusi wakaf duduk di sebelahnya lalu bertanya: “Fikir apa lagi tu Pak Salim? Pasal rumah studio lagi ke?”

Pak Salim tersenyum memandang saya. Rokok daunnya dibuang ke lantai dan dikeronyokkan dengan tapak sandalnya.

“Lama tak nampak kau?” tanya Pak Salim pula.

“Ada, Pak Salim yang lama tak nampak. Balik Kedah ke?” tanya saya semula.

“Balik tengok rumah pusaka sekejap,” jawab Pak Salim tersenyum sambil mengalih pandangan ke hadapan pintu masuk Vista.

Artikel Berkaitan:

Kemudian Pak Salim menyambung bicara lagi:“Aku sedang fikir kenapa ada yang marah pula bila buat kempen Buy Muslim First? Biasalah utamakan produk sendiri dahulu."

“Oh mungkin sebab ada yang ingat orang Melayu nak boikot. Itu yang mendatangkan marah,” jawab saya cuba berseloroh.

Pak Salim hanya memasamkan muka. Tidak memandang saya, tetapi tetap merenung jauh bangunan KL Gateway yang tersergam di depannya itu. Kelihatan ramai orang berpusu- pusu keluar masuk pulang dari kerja mungkin.

“Persepsi orang yang cuba menabur fitnah. Tidak ada hendak boikotnya. Hanya utamakan produk keluaran sendiri. Lagipun kita akan lebih yakin sebab orang Islam yang buat. Kalau tidak ada pilihan dan perlu beli dengan bukan Muslim, baru beli," kata Pak Salim lagi.

“Tapi begitulah persepsi yang dimainkan di media sosial sekarang Pak Salim,” jawab saya pula.

“Kenapa nak dengki begitu. Asal ada orang Islam nak buat sesuatu sahaja, mesti ada yang tak puas hati. Yang tak puas hati ini pula, aku tak kisah sangat kalau orang bukan Islam yang tak puas hati, tapi ini, orang kita sendiri pun ada juga,” kata Pak Salim lagi.

Pak Salim pantas menggulung rokok daun baharu pula. Kemudian menyambung bicara,

“Sudah menjadi fitrah manusia utamakan bangsa sendiri dahulu. Kita pun tahu yang ramai juga orang Melayu Islam yang bekerja dengan tauke-tauke bukan Islam ini. Semuanya berantaian, berkait.

"Bukan ke ada hadis nabi yang menyuruh kita membantu saudara Muslim kita? Ada hadiskan?” tanya Pak Salim lagi, sambil pantas membelek telefon bimbitnya untuk mencari hadis sahih yang boleh dihujahkan.

“Jumpa ke Pak Salim hadisnya?” tanya saya pula.

Talian

“Nantilah aku cari. Boleh cari dalam internet. Talian internet ni perlahan pula,” jawab Pak Salim lagi mungkin tidak berjumpa dengan apa yang dicarinya. Pantas menyedut rokok daun semula sambil menghembus asap menambah lagi kejerebuan yang melanda ibu kota ini.

“Cuma yang aku ingat cerita Godfather. Masa tu Fredo marah adiknya Michael Corleone, sebab cuba nak ambil alih hotel milik Mole. Kau tengok tak? Kata Fredo,

"Michael, you don't come to Las Vegas and talk to Mole like that!’ Kau tahu apa jawab Michael? Michael kata, ‘Fredo, you are my brother and I love you. But don't ever take side against family. Ever!’

"Aha, kau tengok tak? Kita kena utamakan saudara kita dulu. Bukan nak boikot ke apa," kata Pak Salim bangga.

“Er, tak jumpa hadis, pakai filem Godfather pun okey ya Pak Salim,” sekali lagi saya berseloroh pula.

“Kita orang Islam bersaudara, jadi hendaklah membantu saudara kita. Bukan bermakna kita hendak memulaukan produk orang beragama lain! jerit Pak Salim mungkin marah dengan sindiran saya.

“Mungkin warganet terlampau seronok dengan kempen ini agaknya, itu yang timbul persepsi memboikot agaknya. Kita di Malaysia yang bermasyarakat majmuk ini mungkin boleh mengambil iktibar daripada pesanan Imam Ali, ‘yang bukan saudara kita dalam imam, adalah saudara kita atas kemanusiaan pula’,” kata saya sambil tersenyum cuba menenangkan Pak Salim yang kelihatan tegang pula.

“Kau syiah ke?” tanya Pak Salim pula.

“Ek?” tanya saya keliru.*Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif.