Pengantin baharu jangan gelojoh

A
A
A

BARU seminggu termeterai muafakat UMNO-Pas sudah timbul cakap-cakap untuk membentuk kerajaan campuran kedua-dua parti itu di Perlis.

Kerajaan negeri Indera Kayangan menyatakan kesediaan untuk memberikan jawatan penting kepada Pas sekiranya dibentuk kerajaan campuran.

Bagaimanapun, Pas nampaknya tidak tergesa-gesa ke arah itu dan menganggap cakap-cakap seperti itu terlalu awal buat masa ini.

Kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, biarpun kedua-dua parti sudah menandatangani Piagam Muafakat Nasional, masih terlalu awal untuk merangka kerajaan campuran.

Orang luar melihat dari sudut yang berbeza pula. Secara rasminya memanglah dua parti sudah duduk serumah, tidur sekelambu dan berkongsi bantal.

Tetapi tidur sebantal tidak semestinya mimpi sama.

Biasalah pengantin baharu, masih dalam bulan madu, semua kelihatan manis dan sedap.

Tetapi ramai yang setuju dengan Mohd Amar, jangan gelojoh, jangan tergesa-gesa.

Sebab itu ada istilah khohor-khohor.

Artikel Berkaitan:

BERKATA lagi Mohd Amar bahawa piagam UMNO-Pas di PWTC minggu lalu hanya untuk mengesahkan 'taawun' atau kesepakatan antara kedua-dua parti.Beliau berkata, Muafakat Nasional ialah garis panduan dalam menjalinkan kerjasama antara kedua-dua parti tersebut dan akan diperincikan oleh jawatankuasa khas.

Ertinya pengantin baharu itu belum lagi membentuk pakatan politik, atau tahaluf'.

"Muafakat Nasional itu lebih kepada perjanjian persefahaman (MoU) sebagai tanda jadi secara rasmi sebab sebelum ini kerjasama itu tidak rasmi,” katanya.

Memang sudah sah jadi, tetapi tidak boleh main terjah-terjah tak tentu hala.

Kena berhemat, kena teliti. Khohor-khohor lagi suspen.

DIA orang kata baik pengantin baharu, pengantin lama, pengantin tua, pengantin muda, tempoh berbulan madu biasanya penuh dengan dugaan.

Dalam pada bermanis-manis akan mula dikesan pula benda-benda yang tidak berapa manis. Sebelum kahwin semua nampak manis dan menarik. Bila sudah kahwin baru tahu ada yang tidak sedap.

Masa bulan madu juga ada sahaja tukang cucuk, tukang menghasut, batu api. Almaklumlah bila orang bahagia, ada sahaja orang lain tidak suka.

Maka dalam bulan madu ini kedua-dua parti terbesar Melayu Islam itu eloklah betul-betul saling menyelami dan memahami hati masing-masing. Sekali lagi, jangan gelojoh.

SECARA kebetulan perkahwinan UMNO-Pas terjadi ketika musim jerebu. Bukan kias-kias tetapi jerebu sebenar yang datang dari negara jiran.

Ketika rencana ini ditulis semalam, beberapa kawasan termasuk Sri Aman di Sarawak, merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras bahaya (415).

Tiga lagi kawasan iaitu Kuching (243), Sarikei (221) dan Samarahan (216) mencatatkan IPU sangat tidak sihat. Negeri-negeri di Semenanjung pun banyak sekolah ditutup.

Orang baru kahwin suka hujan, tetapi tidak suka jerebu. Semoga jerebu yang menyakitkan mata dan perasaan ini segera tamat dan negara kembali cerah dan nyaman.

JEREBU meningkatkan pelbagai jenis penyakit. Kementerian Kesihatan melaporkan terdapat peningkatan penyakit jangkitan mata (konjuntivitis) sebanyak 24.9 peratus.

Mengikut perangkaan kementerian, terdapat 317 kes pada minggu lalu (8-14 September), berbanding 253 kes minggu sebelumnya (30-7 September).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan itu turut berlaku terhadap penyakit asma dengan penambahan sebanyak 15.8 peratus atau bersamaan 1,375 kes berbanding 1,187 kes pada tarikh sama.

Seperti yang diketahui, penyakit mata (konjuntivitis) juga telah menyebabkan banyak kerja tergendala, termasuk perbicaraan di mahkamah yang terpaksa ditangguhkan.

AKHIR kalam, masih mengenai jerebu. Indonesia mulanya menafikan tuduhan bahawa jerebu yang dialami Malaysia bukan berasal dari republik tersebut.

Mereka sebaliknya menegaskan pembakaran di wilayah Malaysia sendiri yang menyumbang kepada asap tebal yang menyesakkan nafas.

Kita tidak perlu bertengkar, sebab bukti satelit dengan jelas menunjukkan kawasan pembakaran secara besar-besaran itu memang terjadi di Sumatera dan Kalimantan.

Tetapi biasalah Indonesia tidak mengaku asap itu asal daripada mereka. Mereka cuma suka mengaku batik mereka punya, kuda kepang mereka punya, hatta popia pun mereka punya.

Jerebu kita punya. Lebih baik jangan bertengkar.

* TOK PERAK