Muhasabah bangsa Melayu

A
A
A

KITA sedar betapa cabaran ke atas bangsa Melayu masa kini semakin banyak, rencam dan rumit.

Meneliti pelbagai isu semasa yang berbangkit yang berkait dengan soal kedudukan orang Melayu, raja Melayu, agama Islam dan institusi Islam, bahasa, ekonomi, sosiobudaya, tanah rizab Melayu dan agensi korporat Melayu, menginsafkan kita keadaan yang sangat genting jika tidak ditangani dengan bijak dan berkesan.

Yang jelas bangsa Melayu terbeban dengan amanah besar untuk memelihara status Islam di tanah air ini sesuai dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan Islam serta tarif Melayu mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan bahawa Melayu adalah Islam.

Akan tetapi jelas kedudukan bangsa masih dibelenggu kerenah dan kemelut dalaman yang menatijahkan 62 tahun merdeka belum menandakan bahawa bangsa telah mencapai apa yang diharapkan.

Oleh kerana itu, kita perlu jujur mengakui betapa banyak agensi yang berkepentingan Melayu dan Islam telah disalah urus, pecah amanah serta salah guna kuasa sehingga melibatkan kerugian jutaan ringgit dan hilang integriti yang merosakkan bangsa sendiri.

Punca besar masih banyak warga bangsa ini yang tidak mengamalkan Islam secara komited untuk menjaga maruah dan martabat Islam di Malaysia.

Retorik dan slogan kedengaran sangat gah di pentas ceramah dan resolusi yang menggegarkan. Namun realitinya bangsa ini berhadapan dengan kontradiksi antara apa yang diungkap dengan apa yang diterjemahkan. Pada hakikatnya ramai orang Melayu sangat terpengaruh dengan faham sekularisme, liberalisme dan pluralisme yang menyebabkan kekeliruan dan fitnah terhadap Islam berleluasa, sekali gus melumpuhkan jati diri bangsa.

Sebab itu menyatakan, keresahan terhadap gejala sosial dalam kalangan generasi muda Melayu khasnya sehingga melibatkan penagihan dadah, minum arak, berjudi, bahan lucah, zina, buang anak, anak luar nikah, jenayah dan rempit semakin serius dewasa ini.

Artikel Berkaitan:

Realiti bahawa keruntuhan institusi keluarga Melayu yang sangat berleluasa melibatkan penceraian, anak lari dari rumah dan konflik antara keluarga juga sepatutnya bukan hanya menjadi bahan ceramah akan tetapi perlu ditangani dengan tuntas jika bangsa mahu diangkat darjatnya.

Pengaruh luar

Betapa ramai masyarakat Melayu terpengaruh dengan budaya hidup Barat, hedonisme dan materialistik.

Ditambah lagi golongan ahli politik Melayu tidak mengamalkan politik bijak dan strategi untuk menjaga serta memelihara kepentingan orang Melayu.

Akhirnya, politik cantas-mencantas dan politik berkepentingan diri mengatasi segalanya. Sandiwara politik sangat mewarnai politik bangsa. Bermusuh pada satu ketika, tidur sebantal pada satu ketika yang lain.

Perlu diinsafi juga kelemahan ekonomi orang Melayu adalah akibat pengurusan dan pelaksanaan skim dan pelbagai kemudahan yang disediakan untuk orang Melayu tidak dilaksanakan dengan baik, telus dan beramanah. Akibatnya golongan Melayu bawahan (petani, nelayan, pekebun, usahawan kecil dan pekerja) masih berhadapan dengan keadaan sukar untuk meningkatkan kualiti kehidupan akibat agihan ekonomi yang tidak seimbang.

Lantaran itu, banyak aset orang Melayu terutama tanah semakin terlepas tangan kepada pihak lain. Itu bukan kerana orang lain yang mencatur tetapi adalah kerana kelemahan bangsa itu sendiri.

Maka, kita tidak ada seruan yang lebih penting daripada menggesa pihak pemimpin Melayu dalam pelbagai sektor awam dan swasta mengambil perhatian berat kepada pembinaan generasi masa depan orang Melayu terutama dalam kalangan anak muda. Gejala sosial perlu ditangani dengan tuntas supaya bangsa terlepas daripada bebanan sosial yang menghancurkan.

Para ahli politik Melayu mengelakkan perpecahan masyarakat Melayu di peringkat atas dan bawahan yang boleh mencetuskan persengketaan berpanjangan dan merugikan bangsa.

Dalam kalangan ahli politik, ulama, cendekiawan, ahli akademik dan ahli profesional mengelak daripada menimbulkan polemik perpecahan antara sesama masyarakat Melayu yang mengakibatkan pertelingkahan yang tajam sehingga mencetuskan permusuhan antara satu sama lain, etika politik berprinsipkan kebenaran dan keadilan berdasarkan ajaran al-Quran dan sunnah perlu menjadi teras yang memandu perjuangan atas nama bangsa dan agama.

Demikian juga kita perlu menuntut semua pegawai sektor awam orang Melayu melaksanakan tanggungjawab secara telus, berintegriti dan amanah demi memastikan urus kelola negara lancar dan dihormati.

Mahu tidak mahu, semua pemimpin Melayu hendaklah menjaga aset orang Melayu sama ada hartanah mahupun agensi korporat bagi memastikan kepentingan orang Melayu tidak dikhianati.