Tiada makluman catuan air dilanjutkan di kawasan utara Pontian

Bekalan air disediakan penduduk sepanjang tempoh bekalan air berjadual di utara Pontian.
Bekalan air disediakan penduduk sepanjang tempoh bekalan air berjadual di utara Pontian.
A
A
A

PONTIAN - Tiada makluman catuan air berjadual dilanjutkan sehingga November depan di kawasan utara Pontian seperti diberitahu melalui satu rakaman suara yang tular di media sosial sejak semalam.

Rakaman itu memaklumkan catuan berkenaan melibatkan 14,546 pemilik akaun di kawasan terbabit.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Zulkifly Tasrep menafikan dakwaan itu kerana catuan bekalan air berjadual bermula 2 September lalu masih digunapakai tanpa sebarang perubahan maklumat daripada SAJ Ranhill.

Katanya, rakaman suara itu mendakwa berlaku pertambahan tempoh masa sebulan bagi catuan bekalan air berjadual itu mengelirukan masyarakat dan boleh menimbulkan perasaan cemas dalam kalangan penduduk.

"Kerajaan negeri akan mengumumkan sebarang pertambahan maklumat terutama membabitkan tempoh lanjutan.

"Bekalan air bersih kepada penduduk bukan perkara yang boleh dibawa main-main. Jadi jangan sebarkan perkara yang tidak benar," katanya di sini hari ini.

Justeru, beliau meminta penduduk sentiasa merujuk jadual bekalan air dan memohon hujan melalui solat sunat Istisqa bagi penduduk Muslim.

Sejak semalam, tular rakaman suara seorang lelaki memaklumkan catuan air berjadual yang sepatutnya tamat pada 2 Oktober lalu dilanjutkan selama sebulan lagi.

Artikel Berkaitan:

Video berdurasi 0.18 saat yang menunjukkan kawasan takungan air kering itu turut disertakan rakaman suara tersebut.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan lokasi kawasan takungan air tersebut.

Catuan air berjadual melibatkan 36 jam ada air dan 36 tiada air bermula dari sempadan Pontian-Simpang

Renggam hingga ke Mukim Api-Api di Pulai Sebatang sudah bermula sejak 2 September lalu.

Selain Utara Pontian, kawasan lain yang terlibat dengan catuan bekalan air berjadual ialah Simpang Renggam dan Layang-Layang.