X

Kindly register in order to view this article
!

Budak nyaris diculik ketika berada dalam kereta

Kereta Perodua Alza yang dilarikan bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun ditemui selamat di Taman Nusa Damai hari ini.
A
A

PASIR GUDANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun nyaris diculik ketika berada di dalam kereta di sebuah kedai runcit di Kota Masai di sini kira- kira jam 2.57 petang hari ini.

Ketua Polis Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, jiran kanak-kanak itu memaklumkan kenderaannya jenis Perodua Alza telah dilarikan di mana anak lelaki jirannya berada dalam kenderaan terbabit.

Katanya, semasa kejadian, jiran kanak-kanak itu, seorang lelaki yang berumur 35 tahun singgah ke kedai runcit selepas selesai menunaikan solat Jumaat.

"Kenderaan terbabit telah ditinggalkan dalam keadaan enjin yang masih terpasang.

"Lelaki itu turun daripada kenderaannya dengan membawa dua orang anak lelakinya berumur 4 dan 6 tahun.

"Manakala anak jirannya itu menunggu di dalam kenderaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, setelah menerima laporan kehilangan kanak- kanak itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam telah menjalankan operasi bagi mengesan kenderaan dan kanak-kanak tersebut.

"Hasil kerjasama dan maklumat orang awam kanak-kanak tersebut telah ditemui dipercayai ditinggalkan oleh suspek di Jalan Sentosa 4 Taman Nusa Damai.

"Jarak mangsa ditemui lebih kurang 2.4 kilometer daripada tempat kejadian. Kenderaan yang dilarikan juga dijumpai berhampiran kawasan kanak-kanak ditemui," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut berhubung kes masih dijalankan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus