Kontraktor, pekerja ditahan ceroboh hutan

Kompartmen 19, Hutan Simpan Gunung Inas, berhampiran Mahang, Kulim yang diceroboh oleh kontraktor berkenaan.
Kompartmen 19, Hutan Simpan Gunung Inas, berhampiran Mahang, Kulim yang diceroboh oleh kontraktor berkenaan.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang kontraktor bersama seorang pekerjanya ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) semalam kerana menceroboh Kompartmen 19, Hutan Simpan Gunung Inas, berhampiran Mahang, Kulim untuk tujuan pertanian dan penternakan.

Pengarah JPNK, Roslan Rani, berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 4 petang bersama anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Katanya, kontraktor berusia 43 tahun itu ditahan ketika sedang berehat di sebuah rumah kayu yang dibina dalam hutan terbabit manakala pekerjanya yang juga warga Bangladesh berusia 46 tahun sedang membina chalet.

"Anggota JPNK terpaksa meredah hutan untuk melakukan intipan dari atas bukit sebelum serbuan dilakukan.

"Ketika itu terdapat tiga pekerja sedang membina chalet namun dua daripada mereka melarikan diri ke dalam hutan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kontraktor berkenaan turut membina sebuah rumah menggunakan kayu-kayan bernilai tinggi di atas tanah terbabit.
Kontraktor berkenaan turut membina sebuah rumah menggunakan kayu-kayan bernilai tinggi di atas tanah terbabit.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kawasan itu telah diceroboh dan diteroka sejak lima tahun lalu membabitkan kerugian lebih RM500,000.

Artikel Berkaitan:

"Kita merampas sebuah jengkaut, sebuah lori dan pacuan empat roda Jenis Toyota Hilux.

"Turut dirampas 36 ekor rusa, tujuh ekor landak, tiga ekor burung unta serta empat ekor kuda yang diternak di hutan berkenaan.

"Haiwan itu diserahkan kepada perhilitan untuk disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Roslan berkata, suspek yang dikatakan 'kebal' itu juga telah membina pagar di atas tanah berkenaan bagi mengelakkan orang awam dan penguat kuasa menghidu kegiatannya.

"Kita juga mendapati rumah yang dibina itu adalah daripada kayu bernilai tinggi," katanya.

Antara haiwan ternakan yang diternak di kawasan terbabit.
Antara haiwan ternakan yang diternak di kawasan terbabit.

Tambahnya, kedua-dua lelaki terbabit ditahan di Balai Polis Mahang sebelum dilepaskan dengan jaminan polis.

"Kes disiasat mengikut Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 iaitu Seksyen 32 (1) kerana menduduki dan menjalankan aktiviti di dalam Hutan Simpanan Kekal tanpa kebenaran yang boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Kontraktor terbabit turut berdepan siasatan mengikut Seksyen 81(1)(b) kerana menebang pokok dengan membawa hukuman yang sama.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 81(1)(e) kerana membersih atau membajak tanah dalam Hutan Simpanan Kekal untuk tanaman serta Seksyen 47(1) kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran.

"Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.