Dakwa disamun, pekerja syarikat rokok ditahan

polis 3
polis 3
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang pekerja syarikat rokok membuat laporan polis tentang kejadian samun van milik majikannya akhirnya memakan diri apabila dia ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian itu Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, tangkapan itu dilakukan selepas timbul keraguan terhadap laporan polis yang dibuat suspek berusia 29 tahun itu dan hasil siasatan mendapati dia telah merancang serta mengatur kejadian itu bersama-sama dua orang rakannya.

“Pengadu iaitu suspek mengatakan dia disamun oleh enam lelaki menggunakan sebilah parang dan cota besi ketika berhenti di tepi jalan di hadapan sebuah kedai di Jalan Rampai Niaga 3, Rampai Bussiness Park, Wangsa Maju bagi membuat penghantaran stok barangan ke kedai runcit itu.

“Menurutnya lagi, suspek-suspek merampas dan melarikan van bersama-sama stok barangan syarikat yang dianggarkan bernilai RM90,000,” katanya.

Beliau berkata, semakan kamera litar tertutup di lokasi kejadian mendapati dua orang lelaki menaiki motosikal datang dari belakang van lalu menghampiri, sebelum menolak pengadu, dan pengadu tidak melawan, sebaliknya membiarkan suspek melarikan van itu.

Selain itu katanya terdapat keraguan dalam laporan polis yang dibuat pengadu, yang menyebabkan polis bertindak menahannya pada jam 2.30 petang hari yang sama.

Rajab Ahad berkata, bertindak berpandukan arah oleh suspek, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dengan dibantu oleh Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Kontijen(IPK) Kuala Lumpur menyerbu sebuah rumah di Taman Sri Sinar, Segambut.

Beliau berkata, susulan serbuan, polis menahan lima lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian samun itu dan menemui van syarikat yang dilarikan di samping sejumlah barangan yang dilaporkan telah disamun.

Artikel Berkaitan:

“Seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kesemua mereka yang berusia antara 27 dan 36 tahun itu ditahan reman sehingga 24 September ini bagi membantu siasatan,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 dan Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana samun serta membuat laporan palsu. - Bernama