'Tindakan kejam, tiada hati perut' - Najib

Najib meninjau keadaan rumah penduduk yang dirobohkan dalam kerja pelebaran Sungai Kedondong di Paya Jaras Sungai Buloh hari ini.
Najib meninjau keadaan rumah penduduk yang dirobohkan dalam kerja pelebaran Sungai Kedondong di Paya Jaras Sungai Buloh hari ini.
A
A
A

SUNGAI BULOH - "Ini tindakan kejam dan tidak berhati perut," demikian reaksi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebaik sahaja turun padang melihat sendiri keadaan penempatan sementara penduduk yang terlibat dalam perobohan rumah di Sungai Kedondong Paya Jaras, Sungai Buloh.

Najib berkata, tindakan tersebut juga disifatkan tiada belas ihsan.

"Sepatutnya perlu ada pertimbangan yang dilakukan kepada penduduk yang terlibat ini sebelum rumah mereka dirobohkan.

"Zaman BN dahulu, andai ada rumah yang dirobohkan untuk pembangunan beberapa pertimbangan akan dilakukan dan kita tidak merobohkan begitu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menziarahi penduduk yang terlibat dalam kerja pelebaran Sungai Kedondong di Paya Jaras Sungai Buloh hari ini.

Katanya, seharusnya penempatan sementara disediakan kepada penduduk yang terlibat.

"Sediakan penempatan sesuai dan bukannya membiarkan penduduk tinggal di dalam khemah. Tadi bila saya sampai, hati saya tersentuh melihat penduduk yang bukan sahaja terdiri daripada dewasa malahan bayi dan kanak-kanak juga ada.

"Apa yang mereka alami bukan sahaja memberi kesan kepada fizikal dengan keadaan yang tidak terurus dan selesa, namun ia turut memberi kesan kepada emosi mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perkara ini seandainya di bawah pemerintahan BN pastinya tidak dibiarkan ia berlaku.

"Saya mendesak pihak berkuasa menyelesaikan perkara ini secepat mungkin, sediakan penempatan sementara kepada mereka dengan segera.

"Bagi saya apa yang berlaku kepada penduduk ini langsung tidak ada kena mengena dengan soal politik, namun ini hal kemanusiaan," katanya.

Terdahulu, Najib menunaikan solat Jumaat di Masjid Kubu Gajah, Paya Jaras di sini sebelum melakukan lawatan ke atas penduduk yang terlibat.

Kunjungan Najib disambut oleh ratusan penduduk dan warga kampung tersebut.

Najib ketika meninjau keadaan rumah penduduk yang dirobohkan dalam kerja pelebaran Sungai Kedondong di Paya Jaras, Sungai Buloh hari ini.
Najib ketika meninjau keadaan rumah penduduk yang dirobohkan dalam kerja pelebaran Sungai Kedondong di Paya Jaras, Sungai Buloh hari ini.

Pada 18 September lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, operasi merobohkan rumah berhampiran Sungai Kedondong Paya Jaras yang dibina di atas tanah rizab milik kerajaan Selangor dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan dengan penyerahan notis awal kepada penduduk terlibat.

Katanya, pelaksanaan perobohan itu sebenarnya telah dirancang sejak tahun 2008 lagi dan penduduk terlibat telah menerima notis pertama sejak tahun 2015.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya pada waktu itu membantah perobohan berkenaan memandangkan penduduk terlibat tidak mendapat tawaran Rumah Selangorku sebagai pampasan kepada perobohan terbabit.

"Lepas itu, kita terus usaha dan akhirnya mereka dapat tawaran Rumah Selangorku dan tidak perlu menunggu giliran seperti penduduk lain.

"Dan pada 2 Ogos lepas kita serahkan surat tawaran (Rumah Selangorku) berkenaan dan memberi notis untuk perobohan berkenaan beberapa hari kemudian dengan menetapkan tempoh selama 30 hari buat penduduk mencari rumah sewa lain," katanya.

Difahamkan matlamat utama perobohan rumah berkenaan adalah bagi memberi laluan kepada projek pelebaran Sungai Kedondong dalam usaha untuk mengatasi isu banjir di kawasan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah diroboh kami terpaksa tinggal dalam khemah