Penjualan MAHB kepada syarikat asing belum diputuskan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan belum memutuskan untuk menjual pegangan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dalam Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) kepada syarikat asing.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan kini dalam proses kajian dalam menentukan sama ada aset itu dijual atau tidak, bergantung kepada keperluannya.

Menurutnya, kerajaan perlu meneliti signifikan keputusan penjualan aset itu dibuat demi menangani bebanan hutang negara dianggarkan melebihi RM1.3 bilion.

"Perkara itu masih dalam kajian, belum ada sebarang keputusan dibuat. Kerajaan kena teliti dahulu sekiranya mana-mana aset kerajaan tidak berguna kepada kita, baik kita jua untuk bayar balik hutang (negara dianggarkan) RM1.3 bilion.

"Hutang ditinggalkan kerajaan dahulu adalah satu bebanan kepada kita dan dianggap sebagai mencuri. Jika wang itu dikira pelaburan, kita boleh mendapatkan wang itu semula daripada syarikat dilaburkan," katanya kepada media sewaktu melancarkan Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini petang tadi.

Hadir sama, Pengasas Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari dan Pengerusi Yayasan Budi, Tan Sri Rais Yatim.

Dr Mahathir berkata, pada ketika ini, kerajaan perlu membayar hutang ditinggalkan kerajaan terdahulu dengan menggunakan wang cukai dikutip rakyat atau terpaksa menjual sebahagian aset negara.

"Kita mewujudkan Khazanah bertujuan untuk membeli pegangan yang memperuntukkan kepentingan kaum bumiputera. Namun, kerajaan terdahulu sudah pergi melangkaui (objektif) itu.

Artikel Berkaitan:

"Mereka mula melabur pada syarikat-syarikat yang bukan memenuhi mandat asal penubuhan Khazanah. Kini kita akan kembalikan syarikat ini kepada matlamat asal," katanya.

Terdahulu media tempatan melaporkan Khazanah berada dalam proses akhir penjualan pegangannya dalam MAHB kepada sebuah syarikat pengurusan lapangan terbang di London iaitu Vinci & Gatwick Airports.

Jika rundingan tersebut benar berlaku dan diteruskan, MAHB dikatakan tidak lagi mengawal dan mengurus lapangan terbang seluruh negara sebaliknya akan dilakukan oleh syarikat asing.

Menurut bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, beliau terkejut dengan pendedahan penganalisis politik, Badrul Hisham Shaharin apabila Khazanah memutuskan untuk menjual aset bertaraf nasional itu.

Tambah beliau, MAHB pernah menempa beberapa kejayaan dalam pengendalian lapangan terbang termasuklah pemilikan lapangan terbang kedua terbesar di Turki iaitu Sabiha Gochken Istanbul dan berjaya meraih keuntungan sebelum cukai RM700 juta pada 2018.