Ajal di lampu isyarat

Keadaan motosikal mangsa selepas terlibat dalam kemalangan pagi semalam. Gambar kecil: Zaimah, Hussin (mangsa maut)
Keadaan motosikal mangsa selepas terlibat dalam kemalangan pagi semalam. Gambar kecil: Zaimah, Hussin (mangsa maut)
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum terjatuh ke atas jalan dalam kemalangan berhampiran lampu isyarat Padang Nenas di sini pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Hussin Abdul Rahman, 73, dari Kampung Gelam, Mengabang Telipot meninggal dunia di tempat kejadian.

Isteri mangsa, Zaimah Mohd Noor, 65, berkata, arwah suaminya sudah lebih lima tahun menghidap sakit darah tinggi dan pernah beberapa kali sebelum ini pengsan di tepi jalan kerana diserang darah tinggi.

"Arwah memang hari-hari kena makan ubat darah tinggi dan tekanan darahnya pula tidak menentu kini. Kadang-kala naik tinggi secara tiba-tiba dan turun pula mendadak.

"Pernah sebelum ini, jiran datang ke rumah beritahu jumpa arwah pengsan tepi jalan. Bila dibawa ke hospital, doktor buat pemeriksaan dan mendapati tekanan darahnya tinggi mendadak.

"Dalam kejadian hari ini (semalam), saya rasa mungkin semasa arwah sedang menunggang tadi secara tiba-tiba diserang darah tinggi dan disebabkan itu dia tiba-tiba jatuh daripada motosikalnya," katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Ibu kepada lima anak ini berkata, arwah suaminya tidak menunjukkan perangai pelik sebelum ini tetapi sejak sebulan lalu, dia selalu mengatakan tidak sabar hendak berjumpa anak sulung kami yang tinggal di Kerteh Kemaman.

"Anak sulung, Mohd Hasbi Husin, 42, sudah tiga bulan tidak balik ke kampung kerana bekerja tetapi dia memberitahu kami yang hendak balik kampung hari ini (semalam).

Artikel Berkaitan:

"Jadi arwah selepas diberitahu tentang kepulangan Mohd Hasbi, dia nampak begitu teruja kerana mungkin tidak sabar hendak berjumpa anak serta lima cucu kami.

"Lepas dia balik beli ikan di pasar, dia bagi tahu nak keluar semula untuk beli rambutan pula dan selepas itu dia tidak balik-balik sebelum kami diberitahu jiran yang dia terjatuh daripada motosikal di lokasi," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan berkata, motosikal jenis Honda Wave ditunggang mangsa yang ketika itu berada di lorong kiri dari arah Kampung Padang Nenas menghala ke Kampung Tanjung Gelam hilang kawalan lalu terjatuh ke atas jalan.

Katanya, akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dihantar ke Bilik Forensik HSNZ untuk bedah siasat.