Reman pegawai Imigresen, rakan wanita dilanjutkan

205548
205548
A
A
A

SEPANG - Tempoh reman seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia bersama seorang wanita bagi siasatan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan membawa keluar dan masuk warga asing ke negara ini dilanjutkan selama dua hari lagi.

Ketua Polis KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah berkata, tempoh reman mereka dilanjutkan sehingga Ahad ini setelah tamat pada hari ini.

"Siasatan masih dijalankan dan kita dalam proses untuk mendapatkan maklumat.

"Tiada tangkapan baru dibuat setakat ini. Kita juga masih menunggu keputusan sama ada pasport dan kad pengenalan yang dirampas daripada mereka itu tulen atau tidak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Isnin lalu, kedua-dua individu terbabit ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semasa anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) KLIA melakukan rondaan kira-kira jam 1.30 tengah hari sebelum terserempak sebuah kereta jenis Hyundai Sonata.

Pemeriksaan terhadap kereta dipandu seorang wanita tempatan berusia 45 tahun itu menemui sejumlah wang tunai, pasport dari China dan Indonesia serta kad pengenalan berwarna merah di dalam kotak yang disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang hadapan.

Ketika pemeriksaan dilakukan, seorang lelaki berusia 40 tahun dengan mendakwa dirinya sebagai pegawai imigresen muncul dan mengaku kereta itu miliknya.

Kedua-dua individu itu kemudian ditahan dan direman sehingga hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes berasingan, seorang juruteknik kilang yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes penularan video yang memaparkan aksi lucah seorang anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) wanita yang tular di media sosial baru-baru ini telah dibebaskan dengan jamin polis semalam.

"Kita masih menunggu arahan daripada pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.