Projek tebatan banjir perlu bagi tangani banjir

PDT Petaling memaklumkan, operasi penguatkuasaan terhadap struktur di atas rizab Sungai Kedondong dilaksanakan bagi memberi laluan pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong.
PDT Petaling memaklumkan, operasi penguatkuasaan terhadap struktur di atas rizab Sungai Kedondong dilaksanakan bagi memberi laluan pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong.
A
A
A
SUNGAI BULOH - Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong dilaksanakan bagi menangani masalah banjir kritikal yang dilapor berlaku lebih dua kali setahun di daerah Petaling.

Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling menerusi satu kenyataan memaklumkan, susulan itu operasi penguatkuasaan terhadap struktur di atas rizab Sungai Kedondong perlu dilaksanakan bagi memberi laluan kerja naik taraf sungai tersebut.

Menurut kenyataan itu tindakan operasi penguatkuasaan dilaksanakan di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara kerana tanah diduduki secara tidak sah di atas tanah kerajaan.

“Tindakan penguatkuasaan dibuat kerana tapak struktur terlibat dengan pelaksanaan projek berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memberitahu, projek bernilai RM5.93 juta dibiayai Kerajaan Negeri Selangor melibatkan kawasan sepanjang 1.15 kilometer sepatutnya bermula pada 2 Disember 2015 dan sipa sepenuhnya pada 31 Mei 2017.

Bagaimanapun, projek itu mengalami kelewatan serius kerana ada struktur menceroboh tanah kerajaan.

Kelewatan perlaksanaan projek didakwa turut mengakibatkan bahan binaan di tapak itu terbiar dan rosak.

“Projek perlu dimulakan segera bagi mengelakkan lebih banyak kerugian sekaligus memberi manfaat penyelesaian banjir kepada penduduk di empat kampung iaitu Kampung Paya Jaras Hilir, Kampung Paya Jaras Tengah, Kampung Paya Jaras Dalam dan Kampung Paya Jaras Hulu,” katanya.

Menerusi kenyataan itu, tindakan penguatkuasaan dirancang dimaklumkan melibatkan dua komponen iaitu Plot A dan B (50 struktur) serta Plot C dan D (45 struktur).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tiada sebarang struktur kediaman atau lain-lain dalam geran yang terlibat dalam operasi penguatkuasaan.

Sebelum tindakan operasi penguatkuasaan dilakukan, PDT Petaling telah mengeluarkan notis sebanyak dua kali kepada pemilik struktur supaya mengosongkan tapak.

“Pihak berkuasa negeri telah menangguhkan operasi penguatkuasaan sebanyak tiga kali sebelum ini iaitu pada 20 Julai 2016, 22 Februari 2017 dan yang terkini operasi pada 5 September lalu.

“Penangguhan ketiga sehingga 16 September lalu bertujuan memberi laluan kepada anak-anak yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan sebagai memberi tambahan masa kepada penduduk untuk mengosongkan tapak secara sukarela.

“Operasi penguatkuasaan Rabu lalu hanya di Plot C dan D melibatkan 45 struktur. Justeru, penduduk terlibat di Plot A dan B disaran segera mengosongkan struktur bangunan. Tindakan sama akan diambil dalam masa terdekat,” katanya.

Kenyataan itu juga memaklumkan kesemua 82 pemilik struktur yang terlibat telah ditawarkan pembelian Rumah Selangorku pada 3 Ogos lalu.

“Tawaran adalah hasil libat urus yang dibuat oleh PDT Petaling bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor,” katanya.

INFO:

Kronologi perobohan rumah berhampiran Sungai Kedondong Paya Jaras Sungai Buloh

2 Disember 2015- Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong dengan nilai kos sebanyak RM5.93 juta dibiayai Kerajaan Negeri Selangor sepatutnya dimulakan.

31 Mei 2017-Projek sepatutnya disiapkan.

1 Jun 2017 hingga 25 Julai 2018- Kelulusan Lanjutan Masa (EOT) 1 projek diberikan

26 Julai 2018 hingga 18 September 2019 -Kelulusan Lanjutan Masa (EOT) 2 projek diberikan

3 Disember 2018- Projek diaudit dan dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2017 Siri 2 berikutan mengalami kelewatan dan dibentangkan di Parlimen.

12 Mei 2016 - Pejabat Daerah Petaling mengeluarkan notis pertama dengan tempoh 30 hari kepada pemilik struktur supaya mengosongkan tapak.

3 Ogos 2019-Semua 82 pemilik struktur yang terlibat ditawarkan pembelian Rumah Selangorku.

5 Ogos 2019 - Pejabat Daerah Petaling mengeluarkan notis kedua berakhir

4 September 2019 kepada pemilik struktur

18 September -Sebanyak 36 rumah di Plot C dan D dirobohkan.