Tun M lebih layak, diterima majoriti ahli Parlimen

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

MARANG - Pas terus menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal kerana dilihat lebih layak dan boleh diterima majoriti ahli Parlimen.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas dan UMNO sendiri boleh menerima Dr Mahathir berbanding Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga tidak diterima sebahagian ahli partinya.

Menurutnya, rakyat sendiri memilih Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu supaya Dr Mahathir boleh menjadi Perdana Menteri.

“Anwar tak masuk (bertanding) pilihan raya pun masa tu. (Dia hanya) masuk pilihan raya kecil, tapi ia tidak boleh dijadikan ukuran (sokongan).

“Sekarang ini, kita melihat majoriti ahli Parlimen bersama Dr Mahathir, sebab itu alasan kita supaya Dr Mahathir boleh kekal sebagai Perdana Menteri. Bukannya alasan yang tidak berpijak.

“Jangan kata saya jadi batu api pula. Saya tidak maksudkan mana-mana dalam parti yang krisis itu. Saya bukan batu api,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau menjangka bakal menduduki kerusi Perdana Menteri sekitar Mei 2020.

Abdul Hadi menambah, PKR sendiri berpecah dan Anwar hanya mendapat sokongan sebilangan ahli PKR di samping DAP dan sebahagian daripada pemimpin Parti Amanah Negara.

Jelasnya, banyak lagi keutamaan yang perlu diberikan berbanding isu itu, termasuk masalah negara seperti kerajaan negeri yang tidak seimbang yang memerlukan penyelesaian segera.

Artikel Berkaitan:

“Bukan masalah peribadi, tapi masalah negara. Sebab itu pada kita, biar Dr Mahathir yang memimpin lagi.

"Biar beliau yang mengendalikan urusan ini dan kita perlu Perdana Menteri yang boleh diterima oleh majoriti ahli Parlimen,” katanya.

Ditanya mengenai keyakinan Anwar untuk menjadi perdana menteri selepas ini, Abdul Hadi menyerahkannya kepada Anwar sendiri.

“Untuk masa depan saya tidak tahu, wallahua’lam. Kita serah kepada dia. (Pandangan) dia, dialah (Perdana Menteri).

"Kita dengan (pandangan) kita, terus dengan (sokong) Tun (Dr Mahathir). Itu andaian kita,” katanya.