Stok topeng N95 cukup: Pembekal

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Meskipun banyak permintaan untuk topeng muka jenis N95 di pasaran susulan keadaan jerebu yang bertambah buruk, terdapat beberapa farmasi dan kedai perkakasan tidak menyimpan stok yang mencukupi untuk dijual kepada orang ramai, kata pembekal.

Pengurus bagi Bahagian Keselamatan Peribadi 3M Malaysia Sdn Bhd, Wong Siew Hooi berkata, terdapat beberapa pembekal tidak menyimpan stok yang banyak untuk perlindungan pernafasan kerana barang itu pada umumnya dalam kategori produk kurang jualannya dan tidak diperlukan pada kebanyakan masa.

“Kebanyakan masa, permintaan untuk perlindungan pernafasan tidak tinggi yang menyebabkan farmasi tidak menyimpan kuantiti yang besar.

"Tetapi dengan keadaan jerebu yang teruk sekarang ini, pembekal mungkin menghadapi sedikit masalah dalam memenuhi permintaan yang tiba-tiba mendadak,” katanya dalam satu temubual di ibu pejabat 3M Malaysia di sini hari ini.

Beberapa hari yang lepas, stok topeng muka N95 amat berkurangan di farmasi dan dalam talian kerana orang ramai menyedari pentingnya penggunaan topeng muka bagi melindungi diri mereka daripada jerebu yang menyelubungi negara keseluruhannya.

Terdapat beberapa jenis alat pelindung pernafasan hidung dan mulut, tetapi jenis N95 disyorkan oleh Kementerian Kesihatan kerana ia boleh menapis sekurang-kurangnya 95 peratus zarah yang berukuran 0.3 mikron dan ia berkesan apabila digunakan dengan betul dan sesuai dengan muka si pemakai.

Wong berkata, sejak jerebu bertambah teruk dan negara dalam keadaan kritikal sejak dua minggu lepas, 3M melakukan yang terbaik untuk membekalkan stok topeng muka N95 di seluruh negara.

Beliau berkata, 3M akan memastikan harga topeng muka N95 tidak dinaikkan kerana orang ramai perlu dilindungi semasa krisis jerebu.

Sebagai antara pembekal utama topeng muka itu, 3M secara aktif terlibat dalam kempen kesedaran orang ramai sejak dua bulan lepas apabila jerebu bermula bagi memastikan orang ramai dimaklumkan akan keberkesanan topeng muka N95.

Artikel Berkaitan:

Ini termasuk menyediakan video pendidikan, poster, bertemu media, meletakkan 3M Safety Flagship Store di Lazada serta kerjasama dengan pihak berkenaan seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH).

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com. - Bernama