Pendakwaan akan buktikan Tengku Adnan terima RM1 juta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan bahawa bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menerima suapan wang berjumlah RM1 juta sebagai upah bagi membantu permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio plot pembangunan di Jalan Semarak di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim berkata, keterangan akan menunjukkan bahawa tertuduh telah menerima wang itu bagi membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak di sini diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) walaupun beberapa kali permohonan dan rayuan syarikat itu ditolak oleh DBKL.

“Wang tersebut diterima daripada Tan Eng Boon melalui cek Public Bank bernombor 300109 milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB nombor akaun 14200008384058 milik tertuduh,” kata Julia ketika membacakan ucapan pembukaan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Bantuan tertuduh diberikan melalui hubungannya dengan agensi lain yang terlibat dan berkaitan dengan perancangan pembangunan tersebut serta melalui surat-surat yang telah ditandatangani oleh tertuduh sejak tertuduh menjadi Ahli Parlimen Putrajaya dan juga setelah dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd untuk menaikkan ratio plot daripada 1:4 kepada 1:7 telah diluluskan melalui satu Mesyuarat JawatanKuasa OSC Khas pada 30 Okt 2013 yang dipengerusikan oleh tertuduh selaku Menteri Wilayah Persekutuan pada ketika itu,” katanya dalam ucapan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes Tengku Adnan yang didakwa menerima rasuah RM1 juta daripada Tan.

Beliau berkata, terdapat beberapa permohonan dan rayuan bagi syarikat Nucleus Properties Sdn Bhd kepada Jabatan Perancangan Bandar, DBKL bagi mendapatkan kebenaran perancangan pembangunan untuk menaikkan ratio plot ke atas lot tanah tersebut, walau bagaimanapun permohonan dan rayuan telah ditolak oleh pihak DBKL.

Julia berkata, keterangan akan menunjukkan tertuduh telah membantu agar permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd diluluskan.

Katanya, dalam membuktikan kes terhadap tertuduh pihak pendakwaan akan bergantung kepada keterangan langsung, keterangan ikut keadaan dan keterangan dokumen bagi menunjukkan bahawa kesalahan tersebut telah dilakukan oleh tertuduh pada tarikh, masa dan tempat sepertimana yang terkandung di dalam pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Julia berkata, bagi pertuduhan pilihan terhadap tertuduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, keterangan akan menunjukkan bahawa tertuduh telah menerima wang berjumlah RM1 juta yang merupakan barangan berharga daripada Tan tanpa sebarang balasan melalui cek Public Bank bernombor 300109 ke dalam akaun tertuduh.

Katanya tertuduh pada masa itu sebagai penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan yang bertanggungjawab ke atas DBKL dan tertuduh mengetahui bahawa Nucleus Properties Sdn Bhd ada perhubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh semasa menerima wang tersebut.

Julia berkata, keterangan akan menunjukkan bahawa Tan adalah merupakan pengarah bagi syarikat Paragon City Development Sdn Bhd yang dahulunya dikenali sebagai Nucleus Properties Sdn Bhd Pekan Nenas Industries Sdn Bhd dan Nipponkey Sdn Bhd.

Pada 15 November lalu, Tengku Adnan, 69, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, diluluskan oleh DBKL.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail di sini pada 27 Disember 2013.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu didakwa telah menerima wang berjumlah RM1 juta yang merupakan barangan berharga daripada Tan tanpa sebarang balasan melalui cek Public Bank bernombor 300109 ke dalam akaun tertuduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong dan pihak pendakwaan telah menutup kesnya selepas 12 hari perbicaraan dengan 23 saksi dipanggil memberi keterangan. - Bernama