Arun didakwa muat naik video jelik

Arunakirinathan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dikenakan ke atasnya berkaitan video yang dimuatnaik ke laman Facebook oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini.
A
A

IPOH - Seorang aktivis sosial dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini kerana memuat naik video mengandungi kenyataan jelik di Facebook pada 15 Februari 2019.

Bagaimanapun T Arunakirinathan, 35, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Bagi pertuduhan pertama, Arunakirinathan didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] kerana dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui video dimuat naik di profil Facebook 'Arunakiri Nathan II' yang telah dilihat pada 19 Februari 2019 jam lebih kurang 9 pagi di No. 9 Lapangan Perdana 30, Panaroma Lapangan Perdana, Kampung Rapat di sini.

Pertuduhan tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya serta denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Bagi pertuduhan kedua, Arunakirinathan didakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kemarahan kepada masyarakat Melayu atau Muslim dengan mengetahui tindakan itu menggugat ketenteraman serta keselamatan awam melalui video dimuat naik di Facebook serta masa dan alamat yang sama.

Jika sabit kesalahan bagi pertuduhan kedua ini boleh dikenakan hukuman sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar dengan dibantu oleh dua Timbalan Pendakwa Raya iaitu Mohd Waffy Ismail dan Jean Siow Chung Wei manakala tertuduh diwakili peguam, Zawharul Haq Abd Rahman.

Ketika menetapkan jumlah jaminan, Azhar memohon mahkamah supaya tidak memberikan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana terdapat tiga laporan polis berbeza terhadap video sama yang dimuat naik selain kandungan video menyentuh sensitiviti kaum dan agama serta memberi kesan kepada masyarakat umum.

Bagaimanapun, peguam meminta mahkamah menimbangkan memberikan jaminan tidak membebankan kerana sepanjang siasatan polis dibuat tertuduh memberikan kerjasama yang baik.

Hakim Azman Abu Hassan kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 untuk kesemua pertuduhan dan mengenakan syarat tambahan dengan meminta tertuduh melapor diri di balai polis yang berdekatan rumah pada setiap bulan bermula 1 Oktober ini.

Mahkamah menetapkan 17 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, tertuduh turut mencetuskan kontroversi dengan membuat ugutan bunuh terhadap pendakwah, Firdaus Wong.

Susulan itu, pada 13 April lalu, Firdaus Wong membuat laporan polis di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Malah Firdaus Wong juga turut mengemukakan saman fitnah berjumlah RM2 juta terhadap Arunakirinathan bersama-sama Siti Kasim pada Julai lalu.

Arunakirinathan sebelum ini turut lantang mengkritik Pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik melalui siaran langsung Facebook.

Selain itu, Arunakirinathan juga pernah tampil berhujah dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkaitan isu politik semasa.