'Tidak timbul isu calar kewibawaan Khazanah'

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.
A
A
A
AKTIVITI penjualan aset oleh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) yang dilihat aktif sejak kebelakangan ini perlu dilihat sebagai salah satu pelan strategi pelaburannya.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff memberitahu, semenjak awal tahun ini Khazanah telah menilai semula pelan strategiknya untuk memfokuskan kepada dua jenis pelan strategi iaitu pelaburan komersial dan pelaburan strategik.

Beliau menjelaskan, pelaburan strategik ialah bersifat untuk jangka masa panjang sementara pelaburan komersial merupakan pelaburan yang boleh memberi pulangan serta merta sekali gus membolehkannya memberi pulangan dividen kepada kerajaan.

"Oleh itu, apabila berlaku beberapa aktiviti penjualan aset oleh Khazanah sejak kebelakangan ini sebenarnya ia adalah usaha syarikat induk cabang pelaburan kerajaan Malaysia itu dalam menuju ke arah pelaburan strategik dan komersial.

"Mana-mana aset yang tidak termasuk di dalam pelan strategik akan dijual untuk mendapatkan pulangan serta merta dan hasil daripada penjualan tersebut akan digunakan untuk pelaburan lain.

"Sebenarnya tidak timbul isu penjualan aset-aset oleh Khazanah sebagai telah mencalarkan kewibawaannya. Apa yang berlaku ialah ramai terlupa bahawa sejak awal tahun ini Khazanah telah menyatakan bahawa sesetengah aset yang tidak strategik akan dijual dan dari segi komersial pula akan wujud banyak transaksi," katanya ketika dihubungi Bisnes Sinar hari ini.

Dalam pada itu Ahmed Razman memberitahu, baru-baru ini Khazanah dilihat sebagai antara agensi kerajaan yang memberi dividen agak rendah berbanding Petronas dan sebagainya.

"Hal ini berlaku kerana pelaburan Khazanah sebelum ini lebih bersifat strategik iaitu untuk jangka masa panjang dan kerana itu dividen hanya diberi apabila perlu sahaja.

"Tetapi sekarang ini apabila ia memfokuskan kepada ada dua jenis pelaburan iaitu strategik dan komersial, bermakna ada kemungkinan kebanyakan aset akan dijual untuk memastikan bayaran dividen kepada kerajaan juga dapat dipertingkatkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Khazanah akan menjual keseluruhan kepentingannya dalam lebuhraya bertol Cikopo-Palimanan (Cipali) di Indonesia kepada Canada Pension Plan Investment Board (CPPIB).

Katanya, keputusan Khazanah menjual kepentingannya dalam lebuhraya bertol Cipali perlu dilihat sebagai salah satu pelaburan strategik.
Artikel Berkaitan:


"Daripada Khazanah mengekalkan aset itu adalah lebih menguntungkan jika menjualnya dan keuntungan yang diperoleh daripada penjualan itu boleh digunakan ke atas pelaburan lain yang memfokuskan kepada komersial dan strategik di samping menggunakannya untuk menambahkan lagi pulangan dividen kepada kerajaan," katanya.

Lebuhraya bertol Cipali ialah lebuhraya bertol terpanjang iaitu sepanjang 117 kilometer yang beroperasi di Indonesia dan merupakan hubungan penting dalam rangkaian pengangkutan di Pulau Jawa serta sebahagian daripada rangkaian Lebuhraya Bertol Trans Jawa.