Pelajar cemerlang derita tulang bengkok

Junaidah dan suami, Mohd Fadil mengharapkan pembedahan ke atas Wardina Fatihah dapat dilakukan selepas anaknya menderita sakit tulang belakang bengkok sejak empat tahun lalu.
Junaidah dan suami, Mohd Fadil mengharapkan pembedahan ke atas Wardina Fatihah dapat dilakukan selepas anaknya menderita sakit tulang belakang bengkok sejak empat tahun lalu.
A
A
A

PARIT - "Jika hanya dengan pembedahan dapat pulih, saya sanggup asalkan dapat fokus belajar dan aktif seperti dulu," kata Wardina Fatihah Aqilah Mohd Fadil, 16, yang menderita sakit tulang belakang bengkok atau skoliosis sejak empat tahun lalu.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, penyakitnya itu menyebabkan dia sering kepenatan hingga sukar memberi tumpuan penuh dalam pelajaran termasuk aktiviti di sekolah.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Iskandar itu juga nekad melakukan pembedahan kerana mahu fokus menghadapi peperiksaan penting Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),

"Kalau boleh saya tak mahu jadikan penyakit ini sebagai alasan untuk gagal tetapi dalam keadaan saya sekarang amat payah untuk beri tumpuan dalam pelajaran.

"Duduk di kerusi sekolah menyebabkan saya selalu sakit belakang. Ada ketikanya dalam seminggu satu atau dua hari saya tidak dapat ke sekolah kerana kerap letih. Setiap kali selepas balik sekolah saya perlu tidur atau rehat hingga tiga ke empat jam sebelum melakukan tugas lain.

"Doakan pembedahan saya berjaya, bolehlah saya pasang impian belajar sampai universiti dan mencapai cita-cita menjadi seorang akauntan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Seri Iskandar hari ini.

Wardina Fatihah yang pernah mewakili daerah dalam acara larian dan memperoleh 6A pada Ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) lalu dijadualkan menjalani pembedahan pada November ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ibunya, Junaidah Yacob, 41, berkata, penyakit itu mula dikesan ketika anaknya berada di tingkatan satu selepas sering mengalami kesukaran bernafas.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati anaknya mengalami masalah tulang belakang bengkok yang agak serius.

"Ketika itu kami begitu takut untuk membenarkan pembedahan bimbang risiko lain seperti lumpuh. Jadi kami hanya melakukan rawatan biasa sahaja, tambahan pula kami tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup.

"Pada pemeriksaan Julai lalu doktor memaklumkan Wardina Fatihah perlu dibedah segera kerana keadaan tulang belakangnya semakin teruk," katanya.

Junaidah dan suami, Mohd Fadil Samsudin, 40, bagaimanapun buntu memikirkan kekangan kewangan bagi pembedahan itu berjumlah RM26,000.

Katanya, dia yang berpendapatan sekitar RM1,500 sebagai kerani di sebuah syarikat swasta dan suami yang mengusahakan bengkel tidak mampu untuk menyediakan kos pembedahan dan rawatan berkenaan dalam tempoh beberapa bulan ini.

"Setakat ini, kami hanya dapat mengumpul RM10,000 hasil sumbangan MAIPk (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak).

“Kami memang mengharapkan bantuan orang ramai dan jika wang tersebut cukup bolehlah pembedahan dibuat tanpa masalah,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 154044 81 4597 atas nama Junaidah Yacob atau menghubungi talian 0163973379.