Mega Toolbox tingkat kepatuhan pekerja di tapak pembinaan

Muhammad Azlan (dua dari kanan) meninjau tapak projek sambil menyaksikan gimik demonstrasi pengurusan kecemasan oleh Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APMM) di tapak pembinaan projek SUKE di Taman Bukit Segar Jaya Cheras semalam.
Muhammad Azlan (dua dari kanan) meninjau tapak projek sambil menyaksikan gimik demonstrasi pengurusan kecemasan oleh Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APMM) di tapak pembinaan projek SUKE di Taman Bukit Segar Jaya Cheras semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) mengadakan program Mega Toolbox di tapak projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dalam usaha meningkatkan kefahaman dan kepatuhan pekerja di tapak pembinaan di Taman Bukit Segar Jaya Cheras semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Datuk Muhammad Azlan Abdullah berkata, banyak kes kemalangan di tapak pembinaan melibatkan kehilangan nyawa disebabkan kecuaian pekerja dalam mematuhi aspek keselamatan ditetapkan.

Bagaimanapun menurutnya, projek SUKE yang kini 63 peratus siap berjaya mengekalkan sifar kematian sepanjang hampir dua tahun setengah berjalan.

"Dari segi teknikal, projek SUKE ini agak mencabar berdasarkan tahap ketinggian dan lokasinya. Namun setakat ini tiada lagi kemalangan melibatkan kehilangan nyawa.

"Bagi memastikan rekod bersih ini dikekalkan, Prolintas sepakat meningkatkan kesedaran keselamatan pekerja dan memastikan setiap projek dilaksanakan mematuhi aspek keselamatan," katanya pada program yang dirasmikan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Sr Aziz Abdullah.

Program bermula jam 8 pagi itu melibatkan ceramah keselamatan disusuli gimik demonstrasi pengurusan kecemasan oleh Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APMM).

Muhammad Azlan berharap program ini menjadi peringatan kepada pekerja untuk menjadikan aspek keselamatan sebagai rutin.

"Taklimat daripada pihak berwajib ini adalah sebagai satu peringatan kepada semua kakitangan Prolintas, kontraktor terlibat di semua jajaran SUKE untuk mementingkan aspek keselamatan di tempat kerja.

Artikel Berkaitan:

"Projek ini melibatkan banyak pihak dan menjadi cabaran kita adalah menyediakan satu piawaian seragam antara kontraktor yang pelbagai lapisan, konsultan serta pembekal. Namun, setakat ini koordinasi ini berjalan lancar dan yakin dapat dilaksanakan sebaik mungkin," katanya.

Katanya, dijangka antara 100,000 hingga 120,000 kenderaan akan menggunakan Lebuhraya SUKE yang dijangka siap menjelang Julai 2020.