MELCAT bukti pentadbiran Kerajaan Melaka telus

Adly Zahari. - Foto Bernama
Adly Zahari. - Foto Bernama
A
A
A
MELAKA – Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Negeri Melaka (MELCAT) membuktikan ketelusan pantadbiran Kerajaan Melaka.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, penambahbaikan yang dilakukan oleh kerajaan negeri ini bakal memberi kebaikan kepada semua lapisan rakyat dan ianya akan menjadi tempat bagi rakyat membuat aduan.

“MELCAT bukan sebuah badan untuk menganiaya mana-mana pihak sebaliknya ianya ditubuh bagi memberi kebaikan kepada semua rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapanya pada sesi penggulungan Mesyuarat Dun di sini hari ini.

Adly berkata, MELCAT akan memberi ruang seluas-luasnya kepada rakyat termasuk penjawat awam membuat aduan secara terus tentang isu melibatkan pentadbiran kerajaan.

Katanya MELCAT turut membuktikan bahawa kerajaan hari ini telus apabila melantik dua wakil rakyat dari parti pembangkang untuk menganggotainya dan memberi tawaran tersebut secara ikhlas.

“Saya percaya, dalam naratif Malaysia baharu ini, kita masih memerlukan parti bukan kerajaan untuk terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang kepada Kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.

Dalam pada itu, Adly berkata beliau melihat bahawa MELCAT amat diperlukan oleh rakyat berdasarkan pengalamanya sendiri menerima pelbagai aduan dan luahan hati rakyat pada Hari Bertemu Rakyat (HBR) yang diadakan setiap hari Jumaat di Seri Bendahara, Ayer Keroh.

Adly berkata, sebagai seorang wakil rakyat hatinya tersentuh apabila mendengar pelbagai masalah rakyat dan mereka (rakyat) memerlukan tempat untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi.
Artikel Berkaitan:


Pada Khamis lalu, Persidangan Dun Melaka meluluskan usul menubuhkan MELCAT yang dicadangkan oleh Adly dan disokong Exco Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka, Noor Effendi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) sebelum dibahas dan diluluskan dengan undian tertinggi.

MELCAT akan dipengerusikan Damian Yeo Shen Li (DAP-Duyong) dan dianggotai Alex Seah Shoo Chin (DAP-Kesidang); Datuk Dr Wong Fort Pin (DAP-Bemban); Gue Teck (PKR-Klebang); Datuk Roslan Ahmad (BN-Merlimau) dan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor).

Speaker Dun Melaka, Datuk Omar Jaafar kemudian menangguhkan persidangan itu kepada tarikh yang akan diberitahu kemudian. - Bernama