Tiada keperluan kerajaan campuran Pas-UMNO

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU - Pas membayangkan tiada keperluan ke arah pelaksanaan kerajaan campuran buat masa ini khususnya penglibatan UMNO dalam kerajaan negeri di bawah pentadbiran parti itu walaupun kedua-dua pihak telah memeterai kerjasama minggu lalu.

Naib presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah turut menyifatkan ia masih terlalu awal memandangkan hubungan termeterai antara Pas dan UMNO di peringkat Pusat adalah bersifat ta'awun iaitu kerjasama, bukannya tahalluf yang lebih memfokuskan kerjasama politik.

"Kalau nak dikatakan kerajaan campuran, itu masih terlalu awal.

"Kalau pun tiada kerajaan campuran tapi hubungan Pas dan UMNO masih sama.

"Dalam Sidang DUN, mereka masih lagi pembangkang yang mesra kerajaan," katanya kepada pemberita dalam satu majlis di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini mendakwa parti itu ada merancang untuk membawa UMNO menyertai pentadbiran Kelantan dan Terengganu.

Mohd Amar berkata, jika benar Pas mahu mewujudkan kerajaan campuran, maka perkara tersebut perlu dibincangkan di peringkat muktamar sebelum mandat dikeluarkan daripada kepimpinan tertinggi parti itu.

"Kita belum sampai ke situ lagi. Muafakat Nasional ini lebih kepada MoU iaitu perjanjian persefahaman. Ia sebagai bukti kerjasama kita yang selama ini secara tidak rasmi. Bila kita meterai, maka rasmilah kerjasama itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Diminta mengulas dakwaan berhubung Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri Mei tahun depan, Mohd Amar berpendapat pemimpin itu tidak perlu memberikan sebarang komen mengenai perkara tersebut.

"Kita tunggulah nanti, susah untuk saya beri ulasan tetapi secara peribadi, apa yang boleh saya katakan ialah, baik dia diam saja.

"Kalau terlalu yakin sangat untuk jadi perdana menteri, nanti orang akan kata macam-macam," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan menyambut baik mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 yang akan memberi fokus kepada merapatkan jurang pendapatan antara negeri.

Menurutnya, perkara tersebut sepatutnya sudah lama dilakukan pihak kerajaan.

"Kita akui Kelantan memang ketinggalan dari segi pembangunan fizikal sebab itu setiap kali Rancangan Malaysia, kita akan minta projek membina jalan raya, pelabuhan serta jambatan sejak dulu, cuma tiada sebarang kelulusan sehinggalah hari ini.

"Kerajaan negeri Insya-ALLAH akan beri kerjasama nanti," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas rancang bawa UMNO sertai kerajaan Kelantan, Terengganu