Jerebu: Kualiti udara Sri Aman kembali ke tahap bahaya


Kawasan Sri Aman di Sarawak kembali merekodkan kualiti udara berbahaya apabila mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 362 setakat 7 pagi ini. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kawasan Sri Aman di Sarawak kembali merekodkan kualiti udara berbahaya apabila mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 362 setakat 7 pagi ini.

Sri Aman yang terletak berhampiran wilayah Kalimantan di Indonesia yang kini mengalami kebakaran hutan dan menyebabkan jerebu merentas sempadan, memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan berhampiran bahagian barat Sarawak dan sekitar kawasan Tawau dan Sandakan, Sabah.

Empat lagi kawasan di negeri tersebut iaitu Sibu (204), Sarikei (235), Samarahan (218) dan Kuching (250) pula kekal di tahap sangat tidak sihat.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc), Yeo Bee Yin semalam berkata, satu lagi operasi pembenihan awan akan diadakan di Sarawak hari ini bagi membantu menurunkan indeks pencemaran udara di negeri itu.

Kebakaran hutan yang turut berlaku di Sumatera pula menyebabkan kualiti udara di kawasan di sepanjang pantai barat dan selatan Semenanjung Malaysia turut terjejas.

Sebanyak 23 kawasan merekodkan bacaan tidak sihat di seluruh negara dengan IPU melebihi 101 iaitu di Minden (111) dan Balik Pulau (108) di Pulau Pinang; Tasek Ipoh (161) dan Pegoh Ipoh di Perak (119), dua kawasan di Kuala Lumpur iaitu Batu Muda (164) dan Cheras (155) serta Putrajaya (137).

Turut mencatat bacaan tidak sihat ialah enam kawasan di Selangor iaitu Kuala Selangor (111), Petaling Jaya (154), Shah Alam (143), Klang (121), Banting (116) dan Johan Setia, Klang (156) dan tiga kawasan di Negeri Sembilan iaitu Nilai (135), Seremban (116) dan Port Dickson (115).

Selain itu, satu stesen di Johor iaitu di Segamat (105), dua stesen di Terengganu iaitu Kuala Terengganu (109) dan Besut (104) serta empat kawasan di Sarawak iaitu Miri (104), Samalaju (103), Bintulu (116) dan Mukah (167) turut merekodkan bacaan tidak sihat

Sementara itu, 40 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatatkan IPU sederhana.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com. - Bernama