Hidup motosikal guna cap jari

Fingerprint Bike Starter dicipta dua pelajar ini mampu menambah sistem keselamatan pada motosikal.
Fingerprint Bike Starter dicipta dua pelajar ini mampu menambah sistem keselamatan pada motosikal.
A
A
A

BACHOK - Dua pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Elektronik Kolej Vokasional (KV) Bachok, berjaya mencipta sistem imbasan cap jari untuk menghidupkan sesebuah motosikal.

Ciptaan Wan Amiruddin Wan Amran, 19, dan Adeeb Aideen Mat Yusof, 19, merupakan projek tahun akhir mereka.

Wan Amiruddin berkata, projek yang dinamakan ‘fingerprint bike starter’ terhasil selepas melihat banyak kes-kes kecurian motosikal berlaku pada masa kini.

Menurutnya, mereka mengambil masa enam bulan untuk mencipta sistem itu termasuk membina prototaip dan mengujinya pada motosikal yang menggunakan penghidup elektrik.

“Selain motosikal, sistem ini juga boleh dipasang pada kereta yang menggunakan butang elektronik,” katanya ketika ditemui dalam program Inreach Fair and KV Skills Competition 2019 di KV Bachok, Tangok, Bachok di sini.

Difahamkan kedua-dua mereka membelanjakan kira-kira RM500 untuk mencipta sistem berkenaan.

Wan Amiruddin (kanan) dan Adeeb Aideen bersama motosikal yang dipasang ‘fingerprint bike starter’.
Wan Amiruddin (kanan) dan Adeeb Aideen bersama motosikal yang dipasang ‘fingerprint bike starter’.

Adeeb Aideen pula berkata, ciptaan mereka menggunakan perisian Arduino yang dilengkapi sistem rakaman suara dan paparan kristal cecair (LCD) dengan perkakasan elektronik seperti alat pengimbas jari yang didapati dari luar negara.

Artikel Berkaitan:

“Sistem ini sukar untuk diceroboh dan motosikal yang dipasangkan ‘fingerprint bike starter’ hanya boleh dihidupkan dengan kesepadanan cap jari pemilik atau jari individu yang direkod dalam sistem sahaja.

“Setiap ‘Fingerprint Bike Starter’ boleh menyimpan 127 kod cap jari dalam sistem pemasangan,” katanya.

Katanya, mereka kini sudah pun menerima tempahan memasang sistem keselamatan itu dalam kalangan pelajar dan pensyarah kolej.

"Kami mengambil masa kira-kira 12 hari untuk menyiapkan setiap satu sistem ini jika alatan lengkap,” katanya.

Sementara itu, Pengarah KV Bachok, Rusli Idris berkata, ciptaan dua pelajar berkenaan akan dipatenkan sebagai hak eksklusif bertujuan menambahkan lagi nilai komersial produk berkenaan pada masa depan.

“Ini akan membantu memperkembangkan produk ini ke peringkat lebih tinggi dan memberi nilai tambah ke atas produk berkenaan,” katanya.

Adeeb Aideen (kiri) melihat ‘fingerprint bike starter’ yang dipasangkan Wan Amiruddin di motosikal.
Adeeb Aideen (kiri) melihat ‘fingerprint bike starter’ yang dipasangkan Wan Amiruddin di motosikal.