Kuasai angin untuk kawal jerebu

A
A

JEREBU atau kabut asap dalam bahasa Indonesia kini menguasai segenap berita di negara ini. Ketika kolum ini ditulis, sejumlah 648 sekolah terpaksa ditutup kerana bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) atau Air Pollutant Index (API) melebihi 200.

Sekalipun belum ada nyawa yang hilang di Malaysia, namun di negara tetangga khabarnya ada seorang bayi meninggal dunia dipercayai berpunca daripada permasalahan jerebu.

Kes tersebut dipercayai berlaku di Palembang, Sumatera Selatan. Menurut pemerintah di Palembang, bayi berusia empat bulan itu mengalami permasalahan nafas yang sangat kritikal rentetan permasalahan karhutla (kabut asap akibat pembakaran hutan dan lahan).

Ketika ini, kedengaran di sana sini ramai yang bertanya berapakah IPU terkini di tempat masing-masing. Daripada perspektif teknikal, bacaan IPU menunjukkan bilangan indeks pencemaran udara meliputi jumlah carbon monoxide (CO), ozone (O3), nitrogen dioxide (NO2) dan sulfur dioxide (SO2) iaitu bilangan zarah dikira per juta isipadu serta zarah boleh-hirup (PM) yang dikira mengikut garis pusat kurang daripada 2.5 micron (PM2.5) hingga 10 micron (PM10).

Bacaan IPU antara 101 dan 200 yang bermakna situasi udara tidak sihat pasti akan memberi kesan kepada mereka mempunyai komplikasi jantung atau paru-paru. Bacaan IPU antara 201 dan 300 akan mengganggu tahap kesihatan mereka yang mengalami masalah jantung serta paru-paru.

ALLAH SWT telah mengingatkan manusia tentang penjagaan alam sekitar dalam Surah al-Syu’ara’ [26:183] yang bermaksud, “Dan janganlah kamu merugikan manusia pada hak-haknya dan janganlah kamu bermaharajalela di muka bumi dengan membuat kerosakan.”

Penulis sebenarnya tertanya-tanya apakah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan kita sudah memadai? Fenomena jerebu dilihat datang dan pergi hampir setiap tahun. Sebagai contoh, lokasi Universiti Selangor (Unisel) di kampus Bestari Jaya seluas 800 hektar dilitupi jerebu menyebabkan pemandangan sangat terhad. Kadang-kala kita berasa seolah-olah berada dalam sebuah bilik yang dilitupi asap tebal berwarna putih.

Fenomena jerebu berlaku setiap tahun dipercayai berpunca daripada asap pembakaran ladang secara terbuka di Sumatera dan Kalimantan Indonesia. Angin kering Monsun Barat Daya bertiup dari Mei hingga ke Oktober dan Monsun Timur Laut dari November hingga ke April.

Penulis percaya tindakan terkini yang boleh diambil dengan kadar segera ialah mewujudkan pasukan sempadan bagi mengenal pasti titik api yang berpotensi terbakar.

Mungkin sebagai permulaan, anggota tentera di sempadan Malaysia-Indonesia boleh digerakkan ke negara tetangga bersama pasukan bomba bagi mengawal kejadian pembakaran sebelum ia menjadi sukar dikawal.

Sebenarnya jerebu di Malaysia kini dianggap masalah tahunan di negara ini. Justeru, Malaysia perlukan perancangan yang sangat mantap bagi memastikan situasi ini tidak berulang.

Sekiranya masalah jerebu boleh dikawal dengan mudah, tidaklah pada setiap tahun Perdana Menteri Malaysia akan menulis surat terbuka kepada Presiden Republik Indonesia memohon bantuan supaya dihentikan pembakaran hutan secara terbuka.

Mengikut laporan kajian cuaca, kelajuan angin Monsun Barat Daya antara 25 dan 36 kilometer per jam (km/j) manakala kelajuan angin Monsun Timur Laut di antara 43 dan 55 km/j. Sekiranya angin ini membawa asap pembakaran dari Sumatera yang anggarannya sejauh 600 kilometer dari Semenanjung Malaysia, bermakna asap berkenaan akan sampai ke ruang udara Malaysia dalam tempoh tidak sampai 48 jam.

Kesimpulannya, penulis mencadangkan pembakaran terbuka ladang digantikan dengan teknologi pembersihan yang boleh menghasilkan by-product secara lebih berfaedah. Tiupan angin monsun pula dimanfaatkan dalam tempoh itu menggunakan teknologi tertentu.

Sebenarnya jerebu di Malaysia kini dianggap masalah tahunan di negara ini. Justeru, Malaysia perlukan perancangan yang sangat mantap bagi memastikan situasi ini tidak berulang."

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.