Netanyahu cadang bentuk kerajaan perpaduan

Gantz (kiri) dan Netanyahu masing-masing gagal meraih undi majoriti.
Gantz (kiri) dan Netanyahu masing-masing gagal meraih undi majoriti.
A
A
A

TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hari ini memberi cadangan kepada pesaing utamanya, Benny Gantz untuk membentuk kerajaan perpaduan selepas keputusan pilihan raya menunjukkan tiada laluan jelas untuk gabungan majoriti.

Netanyahu menerusi mesej video berkata, beliau memilih untuk membentuk gabungan sayap kanan namun perkara itu adalah mustahil berdasarkan keputusan pemilihan tersebut.

Gantz bagaimanapun belum memberi sebarang respons tentang perkara itu walaupun beliau pernah beberapa kali menyuarakan tentang pembentukan kerajaan perpaduan sebelum ini.

Selepas lebih 92 peratus kiraan undi, Parti Likud dan Parti Biru dan Putih masing-masing memperoleh 31 dan 31 kerusi Parlimen.

Bagi menubuhkan kerajaan gabungan terdiri daripada 61 ahli Parlimen, setiap parti perlu membentuk pakatan dengan parti lain termasuk parti berhaluan kanan, Yisrael Beiteinu yang dipimpin bekas Menteri Hal Ehwal Tentera, Avigdor Lieberman yang meraih sembilan kerusi di Knesset.

Pemilihan pada Selasa lalu adalah pilihan raya kedua dalam tempoh lima bulan yang diadakan di Israel selepas Netanyahu gagal meraih majoriti pada April lalu.

Dalam perkembangan lain, Netanyahu membatalkan rancangan untuk menghadiri Perhimpunan Agung PBB di New York selepas Israel kini berdepan kebuntuan politik. - AFP

Artikel Berkaitan: