Kedah negeri pertama Persidangan Muafakat Nasional

Ahmad (tengah) pada sidang media di Kompleks Pas Kedah hari ini. Turut kelihatan Jamil Khir (kanan).
A
A

ALOR SETAR - Kedah menjadi negeri pertama bagi Persidangan Muafakat Nasional peringkat negeri yang akan diadakan pada 28 September di TH Hotel, Alor Setar.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahya berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan hadir untuk menyampaikan amanat masing-masing kepada 500 wakil UMNO dan 500 wakil Pas dari seluruh negeri ini.

Menurutnya, persidangan peringkat negeri ini adalah lanjutan Himpunan Penyatuan Ummah yang diadakan di peringkat nasional pada 14 September lalu.

"Apa yang dilakukan ini adalah usaha untuk mengukuhkan ta'awun di peringkat Kedah membabitkan ahli UMNO dan Pas.

"Kedua-dua presiden parti ini akan memberikan ucapan selain terdapat slot perbahasaan dari wakil-wakil parti termasuk pembentangan isi kandungan piagam yang dipersetujui oleh UMNO dan Pas," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Pas Kedah dekat sini petang tadi.

Ahmad berkata, persidangan itu juga diadakan untuk memberikan pemahaman jelas kepada semua wakil bahagian UMNO dan kawasan Pas sebelum dibawa pulang untuk dijelaskan kepada ahli-ahli lain di peringkat akar umbi.

Sementara itu, Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, persidangan tersebut juga akan memperincikan bentuk kerjasama terutamanya dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Menurutnya, kerjasama yang disusun untuk pembahagian kerusi akan diputuskan oleh pemimpin tertinggi di peringkat pusat manakala di peringkat negeri pula akan memfokuskan kepada peringkat akar umbi agar mereka faham tentang perjuangan bersama.

"Pada persidangan ini kira-kira 500 pemerhati luar dan 100 wakil NGO (badan bukan kerajaan) turut hadir untuk melihat perjalanan persidangan yang berlangsung bermula jam 8 pagi sehingga 2 petang," katanya.