RUU 'Food Bank' dibentang bulan depan: Saifuddin Nasution

Saifuddin (tiga dari kanan) merasmikan Food Bank Siswa Peringkat Negeri Sembilan di USIM. -Foto Sinar Harian
A
A

NILAI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membentangkan rang undang-undang untuk mengawal aktiviti berkaitan Food Bank atau bank makanan pada sidang Parlimen bulan depan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rang undang-undang berkenaan yang bakal diperkenalkan itu bertujuan melindungi penyumbang daripada dikenakan tindakan jika berlaku perkara tidak diingini melibatkan makanan yang diberi.

"Kadang-kadang syarikat penyumbang ini memegang jenama antarabangsa dan mereka ambil sikap berhati-hati, bimbang jika ada masalah pada makanan yang disumbangkan pada penerima menyebabkan mereka dibawa ke muka pengadilan.

"Jadi undang-undang ini perlu untuk lindungi mereka. Tapi dalam tempoh setahun dilaksanakan tidak pernah lagi berlaku sebarang perkara tidak diingini kerana kawalan ketat yang dilakukan ketika proses pembahagian makanan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Food Bank Siswa Peringkat Negeri Sembilan di Universiti Sains Islam Malaysia(USIM) di sini hari ini.

Saifuddin berkata, dengan adanya undang-undang terbabit ia akan lebih memberi keyakinan kepada penyumbang untuk menyumbang.

Katanya, berdasarkan pengalaman beberapa negara yang mengamalnya kadar penyumbang meningkat 20 peratus dengan adanya undang-undang mengenainya.

“Setakat ini Peguam Negara sudah memberikan lampu hijau berkenaan draf rang undang-undang ini.

“Kami akan bentangkan pada Kabinet dalam tempoh terdekat dan jika Kabinet setuju, harap dapat dibentangkan dalam sesi Parlimen Oktober ini," katanya.

Menurutnya, rang undang-undang itu bersifat dinamik dan pada masa akan datang elemen pengecualian cukai kepada penyumbang akan dimasukkan kerana ia masih di peringkat perancangan.

Dalam pada itu katanya, sehingga kini terdapat seramai 430 penyumbang di seluruh negeri melibatkan pasar raya, syarikat peruncitan dan ada juga syarikat pembungkusan minyak.

USIM merupakan universiti ke-15 yang melaksanakan program Food Bank dan sehingga Julai tahun ini, seramai 4,670 pelajar telah menerima manfaat.