Rayuan lelaki dihukum mati edar kanabis didengar 27 November ini

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 27 November untuk mendengar rayuan oleh seorang lelaki berusia 30 tahun yang dijatuhi hukuman mati kerana mengedar kanabis yang didakwanya untuk tujuan perubatan.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Lau Bee Lan menetapkan tarikh itu semasa kes itu disebut di mahkamah hari ini.

Sebelum itu, Yaacob, membenarkan permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhammad Lukman Mohamad, untuk masukkan dua alasan tambahan ke dalam petisyen rayuan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazran Mohd Sham tidak membantah permohonan itu.

Pada 30 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Muhammad Lukman bersalah atas tiga pertuduhan mengedar 3,010 mililiter delta 9 tetrahydrocannabinol (ekstrak kanabis), 1,422 gram delta 9 tetrahydrocannabinol dan 279.81 gram kanabis.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bandar Mahkota, Banting pada 6.45 petang 7 Disember 2015. - Bernama

Artikel Berkaitan: