KKMM tunggu laporan pencerobohan data penumpang: Gobind

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo -Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, beliau sedang menunggu laporan lengkap berhubung kes pencerobohan data penumpang melibatkan anak syarikat penerbangan Lion Air termasuk Malindo Air.

Beliau berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai pencerobohan data penumpang itu.

"Maklumat tersebut ada dalam pengetahuan kita dan saya telah minta satu laporan lengkap diberikan kepada saya.

"Saya akan tunggu laporan tersebut sebelum membuat sebarang komen. Adalah penting untuk saya meneliti semua fakta sebelum membuat satu kenyataan berkenaan perkara tersebut khususnya dalam keadaan di mana perkara tersebut dalam siasatan sekarang," katanya di sini hari ini.

Gobind berkata demikian ketika ditanya media mengenai laporan berlakunya pencerobohan data besar-besaran sejak bulan lepas melibatkan syarikat penerbangan itu.

Sebelum itu, beliau menghadiri pelancaran Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) 2019-2023 oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pencerobohan itu menyebabkan maklumat jutaan penumpang termasuk nombor pasport, alamat rumah dan nombor telefon disebarkan menerusi forum pertukaran data dalam talian.

Ditanya ada jangka masa laporan itu akan diterima, Gobind berkata, tidak ada sebarang had masa ditetapkan tetapi harap ia dapat diterima secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

"Tidak ada...saya tidak menetapkan sebarang had masa tetapi harap ia dapat disegerakan kerana ia satu perkara cukup penting dan ramai yang melihat kepada aspek keselamatan," katanya.

Semalam, Ketua Pegawai Operasi Malindo Air Chandran Rama Muthy dilaporkan mengesahkan pencerobohan tersebut ketika dihubungi media.

Menurut Chandran, syarikat penerbangan itu sedang menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan dan telah menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Dalam perkembangan lain, Gobind berkata, satu kertas berhubung penubuhan badan bebas Majlis Belia Malaysia akan dibentangkan ke Kabinet pada suku tahunan ini.

"Telah ada kemajuan," katanya. - Bernama