Kerajaan keliru dengan ICERD?

Datuk Seri Azalina Othman Said. - Foto Bernama
Datuk Seri Azalina Othman Said. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kenyataan dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan dengan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dilihat bercanggah dengan apa yang diperkatakan oleh menterinya sebelum ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Dr Mahathir menjelaskan bahawa ICERD sukar dilaksanakan tanpa ada pindaan Perlembagaan tetapi sebaliknya diungkapkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Katanya, Moorthy sebelum ini memberi jaminan tidak akan memansuhkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan sekiranya ICERD diratifikasikan.

“Kenyataan Dr Matathir dilihat seolah-olah bertentangan dengan pendirian Moorthy berhubung isu tersebut bahawa ICERD boleh diratifikasikan dengan pengecualian tanpa perlu ada pindaan Perlembagaan.

“Justeru timbul kekeliruan berhubung pendirian sebenar Kerajaan PH mengenai perkara ini. Persoalannya adakah semua yang disebut oleh YB Menteri selama ini hanyalah pendapat peribadi tanpa ada persetujuan Kabinet?,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: ICERD: Kerajaan jamin tidak mansuh Artikel 153]

Ketika menjawab soalan tambahan Azalina (BN-Pengerang) yang mahu tahu pendirian kerajaan berhubung perkara itu di persidangan Dewan Rakyat, Moorthy berkata kerajaan akan mengadakan konsultasi berhubung ICERD bagi mendapatkan pandangan perundangan dari dalam dan luar negara, serta pendapat intelektual masyarakat.

Beliau berkata, konsultasi itu yang akan diadakan pada suku pertama 2019 dilaksanakan kerana isu-isu berkaitan ICERD tidak mendapat penjelasan yang menyeluruh sehingga menimbulkan kebimbangan dan kerisauan rakyat.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mustahil laksana ICERD?]
Artikel Berkaitan:


Perdana Menteri sewaktu di Konvensyen Apec di Papua New Guinea menjelaskan adalah mustahil untuk negara melaksanakan Konvensyen Antarabangsa ICERD.

Katanya, ini kerana pelaksanaan ICERD memerlukan penggubalan semula Perlembagaan Persekutuan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Zahid, Hadi bergabung bantah ICERD]

[ARTIKEL BERKAITAN: ICERD: Penjajahan baharu negara barat]


Kelmarin, Umno dan Pas bersatu dalam Himpunan Perpaduan Ummah bagi membantah ratifikasi ICERD di Pasir Salak, Perak.

Perhimpunan itu mempertemukan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di atas satu pentas dihadiri lebih 30,000 hadirin.

Pada 8 Disember depan juga dijangka akan dianjurkan himpunan mega di ibu negara bagi membantah ratifikasi berkenaan.