Buruh cabul budak dijel 2 tahun

Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan mencabul seorang kanak-kanak Mei lalu.
Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan mencabul seorang kanak-kanak Mei lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dihukum penjara selama dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu semalam atas tuduhan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Tertuduh, Che Rahim Awang, 57, mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Noriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai buruh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan meraba bahagian dada mangsa.

Perbuatan itu dilakukan antara jam 10 hingga 12 malam di rumah mangsa dalam kejadian di Kampung Padang Polis Batu Rakit di sini pada Mei lalu.

Tertuduh yang merupakan kawan kepada ayah mangsa didakwa mengambil kesempatan mencabul ketika ketiadaan orang di rumah itu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dipenjara 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Hukuman penjara berkuat kuasa bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 2 September 2019.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh berada di bawah pengawasan polis selama setahun setelah selesai menjalani hukuman.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan bagi kes itu dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.