'Geng Ise, Jewey' pecah rumah di Kelantan tumpas

Ganti Jimmy (kanan) melihat barangan yang berjaya dirampas.
A
A

MACHANG - Polis memberkas tiga ahli Geng Ise dan dua ahli Geng Jewey dalam dua serbuan berasingan dalam Op Pintu bermula 1 September lalu.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, penahanan sekali gus membantu polis menyelesaikan kes pecah rumah dan kecurian yang berlaku di daerah ini sejak awal tahun lalu.

"Pada 1 September, kita berjaya menahan tiga lelaki berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun dari Geng Ise di rumah masing-masing dan dua daripadanya ditahan di Paloh Rawa dan Taman Kota Harmoni, Tanah Merah.

"Selepas itu, 13 September lalu, dua suspek Geng Ise berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun pula berjaya ditangkap di Pangkal Canggung.

"Dengan tangkapan itu, kita berjaya mengumpul nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM30,000.

"Antara barangan yang dirampas ialah televisyen, penyaman dingin,dulang hantaran, dua buah kereta jenis Proton Waja dan Subaru.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Machang di sini hari ini.

Antara kenderaan yang berjaya dirampas dalam Op Pintu.
Antara kenderaan yang berjaya dirampas dalam Op Pintu.

Menurutnya, pihaknya dapat menyelesaikan sebanyak 17 kes pecah rumah di daerah ini yang dilaporkan berlaku sejak awal tahun lalu.

Beliau berkata, semua suspek yang merupakan penganggur didapati positif dadah direman empat hingga tujuh hari sejak 1 September lalu.

"Kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau seperti pecah rumah dan penyalahgunaan dadah.

"Buat masa sekarang ini kita masih soal siasat dan dengan cara ini kita yakin lebih banyak lagi kes-kes seumpama ini dapat diselesaikan di daerah ini," katanya.

Ketika ditanya mengenai modus operandi kedua-dua geng tersebut, Ganti berkata, suspek dipercayai memecah pintu atau tingkap rumah untuk membawa keluar barang yang dicuri termasuk barang yang berada di luar rumah.

Ganti berkata, kini pihaknya masih memburu tiga lagi suspek yang masih bebas iaitu dua daripada Geng Jewey dan seorang lagi daripada Geng Ise.