Kerajaan Sarawak bayar gaji ketua masyarakat

Amar Douglas Uggah Embas
Amar Douglas Uggah Embas
A
A
A

KUCHING - Kerajaan Sarawak hari ini menegaskan gaji bulanan Ketua Masyarakat seperti Temenggong, Pemanca dan Penghulu dibayar sendiri oleh kerajaan negeri, dan menolak laporan yang mendakwa kerajaan Persekutuan membayar 70 peratus daripada gaji mereka.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menangkis dakwaan Menteri Kerja Raya Baru Bian kononnya kerajaan Persekutuan membayar 70 peratus daripada gaji Ketua Masyarakat itu.

"Kami mahu memperbetulkan laporan media sosial berkaitan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian tentang dakwaan itu. Kenyataan beliau mengelirukan kerana sebenarnya gaji Ketua Masyarakat dibayar sepenuhnya oleh kerajaan negeri,” katanya menerusi satu kenyataan.

Uggah berkata, kerajaan negeri memberi penjelasan itu bagi mengelak sebarang kekeliruan berikutan kenyataan oleh Baru. Terdapat 589 Ketua Masyarakat di seluruh Sarawak.

Mengenai Ketua Kaum, terdiri daripada Tuai Rumah, Ketua Kampung dan Kapitan Cina, Uggah berkata apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara pada Mei tahun ini, ia telah menghantar surat untuk memaklumkan kerajaan negeri bahawa kerajaan Persekutuan tidak lagi akan membayar gaji mereka.

"Bagaimanapun, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari (Tun Openg) membuat keputusan supaya kerajaan negeri mengambil alih pembayaran itu.

"Kerajaan negeri, pada 5 Disember menerima peruntukan RM7.769 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk membayar gaji mereka dari Oktober hingga Disember tahun ini pada kadar RM500 seorang.

"Memandangkan gaji biasa Ketua Kaum kita adalah RM900 seorang, kerajaan negeri perlu menambah bakinya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Uggah berkata Menteri Pembangunan Luar Bandar di peringkat persekutuan, Datuk Seri Rina Harun, turut menyatakan persetujuannya bahawa pelantikan Ketua Kaum diserahkan kepada kerajaan negeri.

"Setakat ini, kami belum menerima apa-apa syarat baharu bagi pelantikan mereka seperti yang didakwa oleh Baru dan kini tular di media sosial,” katanya. - Bernama