Tunggakan gaji doktor PPM, PHM selesai

Tian Hock (tiga dari kanan) melihat pesakit yang menerima rawatan hemodialisis di PHM di sini hari ini.
Tian Hock (tiga dari kanan) melihat pesakit yang menerima rawatan hemodialisis di PHM di sini hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Masalah tunggakan gaji seramai 33 doktor di Pusat Perubatan Mawar (PPM) dan Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) membabitkan jumlah keseluruhan RM7.5 juta telah pun diselesaikan.

Seramai 17 daripada 33 doktor pakar, doktor residen dan doktor luar yang berkhidmat di situ menerima bayaran tunggakan gaji mereka hari ini keseluruhan berjumlah RM4.5 juta.

Pengerusinya, Datuk Lee Tian Hock berkata, bayaran berkenaan sebagai menunaikan janjinya selepas permohonan untuk mendapatkan lesen operasi telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 12 September lalu.

"Pihak pengurusan lama di bawah syarikat Entelek Ceria Sdn Bhd telah menjelaskan 40 peratus pembayaran tunggakan sebanyak RM3 juta sebelum ini.

"Hari ini di bawah pengurusan baru menerusi anak syarikat Matrix Concept Holding Berhad iaitu Matrix Medicare Sdn Bhd kita selesaikan bakinya RM4.5 juta dan ini bermakna segala tunggakan gaji doktor kita telah selesai," katanya pada sidang media di PPM di sini hari ini.

Tian Hock beramah mesra dengan doktor selepas membuat penyerahan cek di sini hari ini.
Tian Hock beramah mesra dengan doktor selepas membuat penyerahan cek di sini hari ini.

Pada 15 Januari lalu, KKM membatalkan lesen selepas didapati melanggar ketetapan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Pusat perubatan itu kemudian diarahkan menutup operasi pada 14 Februari lalu selepas gagal mematuhi keperluan perundangan bagi memastikan premisnya mempunyai lesen untuk beroperasi.

Artikel Berkaitan:

Isu pelesenan yang dihadapi adalah berikutan peletakan jawatan hampir semua pakar perubatannya pada 5 November tahun lalu.

Sementara itu menjadi harapannya supaya di bawah pengurusan baharu, zaman kegemilangan pusat perubatan berkenaan dapat dikembalikan sekaligus dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Beliau berkata, sebagai permulaan, hospital itu akan beroperasi dengan 33 katil dan 44 buah mesin hemodialisis.

"Kami akan memohon kepada kementerian untuk menaik taraf kepada 97 katil dan 68 mesin lagi dalam tempoh enam bulan. Saya berharap orang ramai dapat pilih hospital kami untuk mendapatkan rawatan," katanya.