Permintaan topeng jenis N95 meningkat

Permintaan bagi topeng jenis N95 turut disyorkan oleh Kementerian Kesihatan.
Permintaan bagi topeng jenis N95 turut disyorkan oleh Kementerian Kesihatan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permintaan bagi topeng jenis N95 terus meningkat kerana orang ramai sedar kemampuannya menapis sekurang-kurangnya 95 peratus daripada partikel berukuran 0.3 mikron di udara, malah turut disyorkan oleh Kementerian Kesihatan.

Izzul Azri Mohd Asri, 23, menetap di Shah Alam berkata, topeng jenis N95 agak sukar diperoleh sama ada di farmasi atau kedai terutama dalam kawasan bandar kerana mendapat permintaan tinggi buat masa ini.

“Awal minggu lepas, lebih senang nak beli topeng ini walaupun agak terhad. Tetapi baru-baru ini kebanyakan kedai dan farmasi sudah pun kehabisan stok,” katanya.

Izzul Azri turut memaklumkan bahawa tiada sebarang kenaikan harga secara melampau melebihi harga RM6 seunit seperti yang ditetapkan dalam senarai barangan kawalan untuk topeng jenis N95.

Sementara itu, Zulsyahmi Rahman, 23, yang menetap di Klang turut menyuarakan kekesalan kerana gagal mendapatkan stok topeng itu untuk kegunaan diri dan keluarga.

“Adik saya yang berusia 7 tahun terpaksa memakai topeng muka pembedahan sebab kami tidak dapat membeli topeng jenis N95 kerana selalu kehabisan stok. Adik saya mula batuk-batuk dan demam akibat itu,” katanya.

Dalam pada itu, usaha sebahagian syarikat korporat untuk memberi topeng jenis N95 secara percuma kepada orang ramai dan pekerja perlu dicontohi.

Pelajar sebuah universiti awam di Shah Alam, Siti Nur Akma Abdol, 22, berkata, dia mendapat topeng jenis N95 secara percuma di stesen minyak berhampiran kawasan universiti.

Artikel Berkaitan:

Sementara pekerja swasta sebuah syarikat di Kajang, Muhammad Nabil Ab Rahim, 23, berkata, syarikatnya ada menyediakan topeng itu untuk kegunaan pekerja secara percuma. - Bernama