4,632 tong LPG dirampas

Antara tong gas LPG yang dirampas dalam serbuan semalam.
Antara tong gas LPG yang dirampas dalam serbuan semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas sebanyak 4,632 tong gas petroleum cecair (LPG) seberat 12 kilogram (kg), 14kg dan 50kg serta barangan lain berjumlah RM58,688.20 dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Kuala Lumpur semalam.

Operasi Barang Kawalan Gas Cecair Petroleum (LPG) dijalankan penguatkuasa KPDNHEP Selangor dan dibantu anggota KPDNHEP Putrajaya kira-kira jam 5 petang di premis terbabit.

Pengarah PKPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, hasil serbuan yang dijalankan, pihaknya menyita barangan yang dirampas.

"Tindakan tersebut diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Barang Kawalan 1974," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai tiga individu turut ditahan dalam serbuan tersebut.

"Semasa pemeriksaan, dua lelaki yang mengaku pekerja dan seorang lelaki yang mengaku sebagai pemilik premis telah ditahan untuk membantu siasatan.

"Siasatan awal juga mendapati syarikat terbabit disyaki menyimpan LPG bersubsidi di kawasan tiada lesen dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Penguatkuasa KPDNHEP memeriksa tong gas yang dirampas dalam serbuan yang dijalankan semalam.
Penguatkuasa KPDNHEP memeriksa tong gas yang dirampas dalam serbuan yang dijalankan semalam.

Menurutnya, jumlah nilai rampasan dianggarkan RM58,688.20.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Jika sabit kesalahan, denda maksimum adalah RM1 juta bagi syarikat perseorangan manakala RM2 juta bagi pertubuhan atau penjara selama tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Zikril berkata, kerajaan memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan berlakunya ketirisan barangan kawalan bersubsidi ini.

"KPDNHEP melalui peruntukan undang-undang sedia ada akan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mana2 pengusaha2 LPG ini agar penyelewengan ini dapat dibendung.

"Pengusaha dinasihatkan agar mematuhi undang-undang seperti memastikan mempunyai lesen yang sah sekiranya berurusniaga berkaitan barang kawalan ini termasuklah memastikan buku stok diselenggara dengan baik," katanya.

Jelasnya, KPDNHEP Selangor sentiasa meningkatkan penguatkuasaan dan memberi amaran tegas kepada pengusaha LPG ini untuk sentiasa mematuhi segala perundangan yang ditetapkan.

"Selain peranan kementerian untuk memastikan bekalan mencukupi dan barangan keperluan bersubsidi ini dinikmati oleh rakyat," katanya.