Jerebu: Penerbangan di LTSAS dibatalkan lagi

Berdasarkan portal APIMS, sehingga 11 pagi, empat kawasan di Perak mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat iaitu Tasek Ipoh (141), Pegoh Ipoh (129) dan Seri Manjung (196), Taiping (189) - Bernama
Berdasarkan portal APIMS, sehingga 11 pagi, empat kawasan di Perak mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat iaitu Tasek Ipoh (141), Pegoh Ipoh (129) dan Seri Manjung (196), Taiping (189) - Bernama
A
A
A

IPOH- Semua penerbangan yang dijadualkan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini terpaksa dibatalkan lagi hari ini akibat jerebu.

Pengurus LTSAS Mohd Ali Osman berkata, penerbangan yang dibatalkan melibatkan laluan Singapura-Ipoh-Johor Bahru daripada syarikat AirAsia Bhd; laluan Ipoh-Johor Bahru-Ipoh (Malindo) dan syarikat penerbangan tambang murah Singapura, FlyScoot iaitu laluan Singapura-Ipoh-Singapura.

"Enam penerbangan melibatkan 12 pergerakan pergi dan balik ke Singapura dan Johor Bahru tidak dapat beroperasi lagi hari ini berikutan keadaan jerebu.

"Dua penerbangan dibatalkan pada pagi ini sejak pukul 9.45 pagi tadi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Ali berkata, jarak penglihatan yang direkodkan adalah 2,500 meter, awal pagi ini.

Seorang penumpang Chong Kwai Fong, 55, berkata beliau sepatutnya menaiki penerbangan Malindo ke Johor Bahru pada pukul 1.25 tengah hari selepas penerbangan sama dibatalkan semalam.

"Pada pukul 8 pagi tadi, saya menerima mesej bahawa penerbangan sekali lagi dibatalkan pada hari ini jadi saya terpaksa datang ke lapangan terbang ini untuk mendapatkan tiket penerbangan gantian pada keesokan hari pula," katanya.

Katanya, beliau akan bermalam di rumah ibunya di Taman Rasa Sayang di sini sehingga penerbangan beroperasi semula untuk pulang ke rumahnya di Johor Bahru.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan Bernama mendapati kawasan sekitar lapangan terbang LTSAS masih lengang akibat pembatalan semua penerbangan pada hari ini namun terdapat beberapa penumpang yang datang ke lapangan terbang itu bagi mendapatkan gantian tempahan tiket.

Pada Jumaat lepas, seramai 549 penumpang terkandas di lapangan terbang sama berikutan tiga penerbangan tergendala akibat jerebu dan seramai 1,418 penumpang terjejas selepas semua penerbangan dibatalkan semalam.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), sehingga 11 pagi, empat kawasan di Perak mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat iaitu Tasek Ipoh (141), Pegoh Ipoh (129) dan Seri Manjung (196), Taiping (189) - Bernama