Anwar jadi PM: Wawasan 2020 bakal tercapai, sindir Najib

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir hasrat Ahli Parlimen Port Dickson yang menjangkakan bakal menjadi Perdana Menteri pada Mei 2020.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir hasrat Ahli Parlimen Port Dickson yang menjangkakan bakal menjadi Perdana Menteri pada Mei 2020.
A
A
A

SHAH ALAM- Kenyataan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau menjangka bakal menduduki kerusi Perdana Menteri sekitar Mei 2020 disambut sinis oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib menyifatkan agenda Anwar itu sebagai bakal merealisasikan wawasan 2020 yang digerakkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Wawasan 2020 bakal tercapai," tulisnya menerusi satu perkongsian di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN Anwar jangka beliau dilantik PM tahun depan

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), semalam berkata, beliau menjangkakan proses pengambilalihan jawatan Perdana Menteri daripada penyandangnya, Tun Dr Mahathir Mohamad akan direalisasikan sekitar Mei tahun depan.

Memetik laporan agensi berita antarabangsa Bloomberg, Anwar berkata, terdapat satu perjanjian pengambilalihan jawatan Perdana Menteri dibuat sebelum ini.

Anwar mendakwa, menerusi perjanjian itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) akan meletak jawatan pada waktu bersesuaian.

Bagaimanapun Anwar berkata, beliau tidak terlalu memikirkan tarikh khusus berhubung pengambilalihan jawatan tersebut.

Wawasan 2020 merupakan wawasan pembangunan negara diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad ketika pembentangan Rancangan Malaysia Keenam di Parlimen pada 1991.

Artikel Berkaitan:

Ia bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian dan maju sepenuhnya pada 2020 dengan 9 matlamat utama termasuk mewujudkan negara Malaysia bersatu yang dikongsi bersama, aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, mewujudkan masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan akan keupayaan diri sendiri dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang.

Matlamat lain ialah membina masyarakat bermoral dan beretika, dengan rakyat berpegang teguh kepada nilai agama dan kerohanian serta nilai etika tinggi, mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur dan mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif.

Wawasan 2020 juga bertujuan mewujudkan masyarakat penyayang dan berbudaya menyayangi, dengan sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, masyarakat yang adil dalam ekonomi, dengan pengagihan kekayaan yang adil dan saksama serta mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

ARTIKEL BERKAITAN Saya letak jawatan, Anwar akan ganti: PM