Pengunjung tidak hiraukan jerebu di Putrajaya

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Dataran Masjid Putra semalam. - Foto Sinar Harian
Tinjauan Sinar Harian di sekitar Dataran Masjid Putra semalam. - Foto Sinar Harian
A
A
A

PUTRAJAYA - Bagaikan memperjudikan kesihatan, pengunjung di sekitar Dataran Masjid Putra di sini semalam tidak menghiraukan jerebu yang menyelubungi negara.

Rata-rata dilihat gembira bergambar di arca Putrajaya, tidak kurang juga yang mengambil kesempatan bersiar-siar secara santai termasuk pengunjung tempatan.

Tanpa memakai topeng muka, ibu bapa membiarkan anak-anak berlari bebas di dalam jerebu.

Sepanjang tinjauan Sinar Harian selama 20 minit di sini, turut mendapati ada rombongan lawatan dipercayai dari sekolah.

Pelajar-pelajar ini juga tidak memakai topeng muka bagi melindungi diri.

Perlu diingatkan, jerebu mengandungi partikel habuk dan asap selain bahan pencemaran udara seperti sulfur dioksida, nitrogen dioksida, ozon, karbon monoksida dan zarah terampai.

Partikel tersebut boleh menembusi jauh ke dalam badan manusia terutama paru-paru dan boleh melepasi saluran darah disebabkan saiz molekulnya yang kecil.

Ia sangat merbahaya kepada semua apatah lagi jika seseorang itu menghidapi penyakit berkaitan dengan pernafasan dan juga keradangan kulit, ekzema.

Artikel Berkaitan:

Setakat jam 1 petang, indeks pencemaran udara di Putrajaya menunjukkan bacaan pada kadar sangat tidak sihat iaitu 200.

Biarpun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan penutupan sekolah di kawasan terjejas, ia tidak bermakna anda sebagai ibu bapa boleh membiarkan kanak-kanak kecil di kawasan terbuka.

Sebagai ibu bapa, kita harus bertanggungjawab menjaga kesihatan keluarga dengan melindungi mereka daripada sebarang mara bahaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jerebu: Dua masalah hantui penduduk Sri Aman