Kempen berhemah produk Muslim

A
A

DALAM al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 168, ALLAH berfirman yang maksudnya: “Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu."

Berdasarkan ayat ini, seorang Muslim wajib makan sesuatu yang halal lagi baik. Dalam Islam kita bukan sahaja dituntut untuk makan yang halal, malah kita juga diwajibkan buat kerja yang halal, berjual beli secara halal dan segala-galanya mesti halal.

Nampaknya halal itu sangat sinonim dengan Muslim. Betul kan? Tetapi dalam konteks semasa di Malaysia, terdapat perbezaan maksud antara dua istilah: produk halal dan produk Muslim.

Bila disebut produk Muslim, maka ia khusus untuk sesuatu yang dihasilkan Muslim sahaja.

Jika disebut produk halal, ia merangkumi produk Muslim dan juga produk bukan Muslim yang ada Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang disahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau mana-mana Sijil Pengesahan Halal keluaran badan persijilan halal lain yang diiktiraf oleh Jakim.

Dalam perbincangan ini, saya lebih fokus kepada produk makanan kerana itulah yang paling sensitif dan crucial.

Satu persoalan yang mungkin bermain dalam benak sebahagian besar daripada kita ialah adakah produk yang dikeluarkan atau yang dijual oleh Muslim itu semuanya halal? Siapa yang mengesahkan semuanya halal?

Sejujurnya saya ingin mengatakan bahawa tidak semestinya produk Muslim itu halal.

Kenapa? Ini kerana tidak semua Muslim di Malaysia mengambil berat tentang hukum-hakam agama.

Mana mungkin orang yang tidak menjaga solatnya akan prihatin tentang penyediaan makanan halalan toyyiban (halal dan berkualiti).

Mana mungkin orang yang tidak kisah tentang hukum-hakam agama akan pastikan transaksinya dilakukan secara “patuh Syariah” bagi menghasilkan suatu produk yang halalan toyyiban.

Jika begitu, bila kita sama-sama gerakkan kempen BMF (Buy Muslim First), adakah kita mengambil kira semua ini?

Adakah wajar kita kempen, asalkan produk Muslim, wajib beri keutamaan biarpun tiada jaminan halal atau kita sendiri tidak pasti halal atau tidak? Adakah itu sikap dan pegangan yang kita patut ambil?

Pada pandangan saya, yang patut kita kempen adalah mendesak semua peniaga Muslim menggunakan bahan mentah halal dan menyediakan makanan mengikut piawaian keselamatan makanan (food safety) yang dikawal selia oleh Kementerian Kesihatan sehingga apa yang dihasilkan itu menepati saranan al-Quran yang meminta kita mengambil yang halalan toyyiban.

Malah sewajarnya produk Muslim juga berteraskan konsep hijau yang sedang menjadi fokus utama di persada antarabangsa sekarang ini.

Bila kempen kita itu dibuat atas sebab yang lain daripada konsep halal, maka akan tularlah kempen sampingan yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum di Malaysia.

Bukankah ada pepatah Melayu yang berbunyi: “Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.”

Hasrat murni BMF tidak dinafikan tetapi bila kita tidak mantap dan bijak dalam mengarusperdanakan kempen tersebut, maka yang berlaku adalah pemboikotan terhadap hasil keluaran Muslim oleh bukan Islam dan masyarakat umum makin keliru dan keliru dan bergaduh sesama sendiri baik di alam nyata atau di alam maya.

Oleh itu, dalam realiti masyarakat majmuk di Malaysia, seyogialah kempen itu dibuat secara berhemah.

Akhlak Islamiyyah

Kenapa kita perlu kempen secara berhemah? Malaysia ialah sebuah negara yang sangat unik kerana mempunyai pelbagai bangsa dan agama. ALLAH telah menjelaskan dalam al-Quran, surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud,

"Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal.

Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti."

Berasaskan semangat yang terkandung dalam ayat al-Quran ini, sewajarnya dalam usaha kita mewar-warkan kempen utamakan produk Muslim, kita menjadikan takwa sebagai asasnya.

Orang yang bertakwa tidak akan menyakiti orang lain baik yang Muslim atau bukan Muslim.

Ini kerana orang yang bertakwa akan menjadikan akhlak Islamiyyah sebagai hiasan yang akan membaluti kempen tersebut.

Oleh itu, saya lebih suka jika kita fokus kepada kempen agar Muslim berusaha menghasilkan produk yang halalan toyyiban.

Bukan setakat itu sahaja, kita perlu kempen agar Muslim di Malaysia berusaha untuk memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia kerana ia merupakan nilai tambah kepada produk mereka bagi menambah keyakinan pengguna.

Jika produk Muslim adalah terbukti terbaik dari aspek halal dan kualiti, saya yakin tidak perlu kepada kempen BMF kerana suatu yang terbaik itu sudah pasti diberi keutamaan secara semula jadi. Wallahu a’lam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.