PERR 2019: Selamat tinggal buat juara, naib juara 2018

Pulau Pinang menjadi pasukan ketiga mara ke suku akhir PERR 2019 setelah menumpaskan Terengganu 3-0. - Foto PBMM
Pulau Pinang menjadi pasukan ketiga mara ke suku akhir PERR 2019 setelah menumpaskan Terengganu 3-0. - Foto PBMM
A
A
A

SELAMAT tinggal Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Raja-raja (PERR) Ke-79 2019!

Itulah yang wajar diucapkan juara berganda bertahan, Pahang dan naib juara 2018, Terengganu selepas masing-masing tewas kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pulau Pinang pada saingan peringkat kumpulan hari ini.

Pahang ditundukkan ATM 3-2 untuk menghuni tangga corot Kumpulan C manakala Terengganu juga kekal di dasar Kumpulan B setelah ditumpaskan Pulau Pinang 3-0 di Padang Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

Kejayaan sulung ATM itu menjadikan perebutan tiket suku akhir daripada Kumpulan C semakin sengit kerana pendahulu, Melaka pula dikejutkan Kelantan 1-0, juga di padang bersebelahan UUM.

Namun kejayaan itu dicemari insiden berbalas tumbuk antara pemain Pahang, Norfahmie Hadzrin Nordin dan ATM, Zarul Azwan Jumahir pada minit ke-85 yang mengakibatkan mereka dibuang padang oleh pengadil, Abdul Halim Mohd Ramlan.

Pahang baru sahaja mempertahankan Piala Agong, gelaran pembuka tirai musim 2019 pada 8 September lalu dengan menewaskan Terengganu 4-0 di Stadium Mini Pekan.

Melaka kekal menerajui kedudukan kumpulan dengan enam mata, diikuti Negeri Sembilan, lima mata yang tidak beraksi hari ini manakala ATM mengekori di tempat ketiga dan berkelebihan gol walaupun terikat empat mata dengan Kelantan.

Pulau Pinang mengesahkan tiket suku akhir untuk mengekori juara Kumpulan B, Kingstown Klang FC dari Selangor hasil dua jaringan Azrie Reza pada minit ke-38 dan 56 serta satu gol oleh Syafiq Rizuan, minit ke-14 untuk mengatasi Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Kingstown yang sudah pun layak pada Isnin lalu, mengikat dan menghampakan satu-satunya pasukan jemputan luar negara, Singapura 3-3 di UUM hasil jaringan penyamaan Badrul Hisyam Azmi dalam masa kecederaan babak kedua.

Dalam saingan Kumpulan D, Perlis yang memerlukan kemenangan dan gol besar untuk ke suku akhir, turut mengucapkan selamat tinggal kepada PERR 2019 lebih awal apabila sekadar seri 1-1 dengan pendahulu, Perak di Padang UUM.

Perak sudah pun layak Isnin lalu hasil dua kemenangan terhadap Kuala Lumpur 4-2 dan Kedah 2-0.

Saingan bagi tiket suku akhir selaku dua wakil Kumpulan A turut sengit selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) FC mengejutkan Selangor 2-1 dan muka baharu, Majlis Sukan India Malaysia (MISC) menumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 di Stadium Mini Jitra.

MISC turut merampas teraju kumpulan ini daripada PDRM dengan kelebihan gol (empat berbanding -1) biarpun terikat tujuh mata dengan lawan. MISC juga berbaki satu perlawanan hari ini, menentang Selangor namun PDRM sudah pun menamatkan aksi keempatnya.

DBKL FC pula menghidupkan sisa-sisa peluang ke peringkat kalah singkir minggu depan dengan kemenangan sulung mereka hasil jaringan Muhammad Ridhwan dan Aiman Hakim Ramli biarpun jurang gol dirapatkan pemain Selangor, Razren Jesni di Padang Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas), Jitra.

Kelab Kuala Lumpur itu hanya akan berdepan pasukan corot yang juga muka baharu PERR, Perbadanan Sukan Sarawak di Polimas, esok yang telah tersingkir daripada persaingan ke suku akhir setelah masih tidak beroleh sebarang mata dengan tiga perlawanan.

KEPUTUSAN

Kumpulan A

Selangor 1 - 2 DBKL FC

PDRM 0 - 3 MISC

Kumpulan B

Kingstown FC 3 - 3 Singapura

Terengganu 0 - 3 Pulau Pinang

Kumpulan C

Kelantan 1 - 0 Melaka

Pahang 2 - 3 ATM

Kumpulan D

Perlis 1 - 1 Perak

JADUAL ESOK

Kumpulan A

PSS lawan DBKL FC (Polimas, Jitra)

Selangor lawan MISC (Stadium Mini Jitra)

Kumpulan C

Negeri Sembilan lawan Melaka (UUM, Sintok)

ATM lawan Kelantan (UUM, Sintok)

• Sepak mula 4.45 petang