SAM persoal keputusan Green Destinations iktiraf Taiping

SAM menunjukkan bukti bergambar hasil tinjauan di sekitar Taiping yang memaparkan kegiatan pembangunan tidak mesra alam di lereng bukit berkecerunan 25 darjah. (Gambar kecil: S M Mohamed Idris)
SAM menunjukkan bukti bergambar hasil tinjauan di sekitar Taiping yang memaparkan kegiatan pembangunan tidak mesra alam di lereng bukit berkecerunan 25 darjah. (Gambar kecil: S M Mohamed Idris)
A
A
A

IPOH - Sahabat Alam Malaysia (SAM) mempersoalkan keputusan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Green Destinations menilai dan mengiktiraf bandar Taiping sebagai antara 100 destinasi mampan 2018, baru-baru ini.

Presidennya, S M Mohamed Idris berkata, berdasarkan tinjauan SAM baru-baru ini di sekitar bandar Taiping, didapati pelaksanaan beberapa kegiatan pembangunan tidak mesra alam dan mampan terutama pembangunan di lereng yang berkecerunan 25 darjah.

Menurutnya, antara lokasi tinjauan NGO mesra alam sekitar itu adalah di kawasan perbukitan Jalan Kamunting Lama, Jalan Bukit Mas, kawasan berhampiran kolam simpanan air Lembaga Air Perak, Kamunting serta kawasan perbukitan berhampiran Taman Kuningsari, Air Kuning.

"Adakah kegiatan-kegiatan pembangunan tersebut mematuhi beberapa garis panduan seperti Garis Panduan Perancangan Perumahan (GP001-A) dan garis panduan lain seperti untuk mengambil bahan batuan (kuari)?

"Sesuatu perancangan perumahan perlu mengambil kira elemen-elemen seperti kesesuaian tapak, pemeliharaan topografi dan alam semulajadi agar tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat setempat," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

No Image Caption

S M Mohamed berkata, sebagai contoh, berdasarkan Bahagian A, Perkara 6 iv) Prinsip Perancangan: Alam Sekitar Semulajadi Yang Terpelihara, Garis Panduan Perancangan Perumahan (GP001-A), pembangunan perumahan perlu mengambil kira pemeliharaan topografi, pengekalan dan penyesuaian dengan persekitaran semulajadi.

Menurutnya, SAM juga mempersoal adakah Green Destinations sebuah badan atau organisasi piawaian dan akreditasi yang benar-benar diiktiraf.

Artikel Berkaitan:

"Adakah Green Destinations telah turun padang dan meninjau ke setiap kawasan di Taiping dan persekitarannya sebelum memberi pengiktirafan?

"Oleh itu, SAM berharap kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) umumnya supaya lebih peka kepada setiap permohonan pemajuan pembangunan dan perancangan guna tanah agar tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat setempat," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan selepas bandar raya Ipoh tersenarai sebagai antara 10 bandar percutian terbaik pada 2017, kini bandar bersejarah Taiping pula diiktiraf sebagai antara 100 destinasi mampan 2018 oleh Green Destinations.

Senarai ‘2018 Sustainable Destination Top 100’ itu bagi mengiktiraf usaha pelbagai pihak dalam mewujudkan industri pelancongan yang lebih bertanggungjawab terutama bagi kelestarian alam sekitar.

Green Destinations adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menumpukan usaha mewujudkan pelancongan lestari dan mengetuai kerjasama global pelbagai organisasi pakar, syarikat dan institusi akademik.