Datin tampil beri penjelasan kes tampar pengawal keselamatan

Kak Syena ditemani peguam hadir ke IPD Dang Wangi bagi memberi keterangan berhubung kejadian tersebut.
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas hampir tiga minggu mendiamkan diri, seorang wanita bergelar Datin yang terpalit dengan kontroversi menampar pengawal keselamatan di lobi sebuah kondominium dekat sini tampil membuat penjelasan mengenai insiden tersebut hari ini.

Walaupun mengakui tindakannya menampar pengawal tersebut sebagai satu kesalahan, Datin yang mahu dipanggil Kak Syena itu mendakwa, beliau berbuat demikian kerana pengawal keselamatan berkenaan mengeluarkan perkataan yang menghina seorang gadis penghantar makanan.

"Bukan sebarang tampar. Pengawal keselamatan itu kata 'Malaysian stupid delivery' kepada budak perempuan yang hantar makanan hari itu. Budak tu sampai menangis teresak-esak sedih sebab rasa terhina.

"Saya sudah minta pengawal keselamatan itu minta maaf tapi cara dia minta maaf main-main macam mengejek. Saya rasa saya patut bela adik perempuan ini, dia baru berusia 21 tahun tapi diperlakukan sedemikian oleh warga asing.

"Selepas video itu viral, banyak komen daripada penghantar makanan yang menceritakan pengalaman buruk mengenai pengawal keselamatan di kondominium yang sama," dakwanya kepada Sinar Harian selepas memberi keterangan bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi petang tadi.

Difahamkan beliau hadir memberi keterangan sebagai saksi berhubung laporan polis dibuat gadis penghantar makanan yang terlibat dalam kejadian terbabit.

Kak Syena yang juga pengusaha kilang pakaian jenama Stanza Styliska berkata, beliau telah menasihati gadis penghantar makanan itu membuat laporan polis bagi menjelaskan perkara sebenar.

Menurutnya, beliau pada mulanya tidak berhasrat memanjangkan kes berkenaan namun membuat laporan polis selepas video itu tersebar.

Ujarnya, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian tersebut tular di media sosial pada 29 Ogos lalu.

"Kejadian itu berlaku petang dan saya ada meninggalkan pesanan supaya penyelia pengawal keselamatan berjumpa saya kerana saya nak buat aduan.

"Tapi saya tak tahu kenapa video CCTV dalam kawasan privasi itu disebarkan dengan tajuk yang salah seolah-olah mahu memalukan saya.

"Saya masih tidak tahu siapa yang menyebarkan video berkenaan. Ia masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian masih menunggu pengesahan daripada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berhubung perkara tersebut.