Kumpulan edar dadah di Lembah Klang tumpas

A
A

KUALA LUMPUR - Satu kumpulan pengedaran dadah yang dipercayai aktif di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu, tumpas susulan penahanan tiga individu termasuk seorang wanita di sekitar ibu negara pada Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, suspek warga tempatan berusia 21, 34, dan 38 tahun itu ditahan bersama pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM200,000.

Beliau berkata, pihaknya menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Desa Petaling di sini, pada 8.15 malam hari tersebut dan pemeriksaan menemui dadah jenis ekstasi, pil erimin 5 dan ketamin di kediaman terbabit.

Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek kemudian membawa polis ke sebuah apartmen di Kuchai Lama sebelum seorang lelaki dan seorang wanita ditahan sejam kemudian.

"Polis menemui serbuk dan pil ekstasi, rokok ganja dan ketamin selain menyita dua buah kenderaan, wang tunai, jam tangan serta dua bentuk cincin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan berkata, dadah yang dirampas dipercayai boleh dibekalkan kepada lebih 7,0000 penagih dadah.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama