Nadma siap siaga hadapi situasi jika IPU lebih 500

Petugas Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (NADMA), Nasrul Hadi Ishak (kanan) bersama Mohd Suhainizam Abdul Halim menunjukkan peta kitaran angin mengenai cuaca jerebu yang melanda negara ketika ini di Markas Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Petugas Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (NADMA), Nasrul Hadi Ishak (kanan) bersama Mohd Suhainizam Abdul Halim menunjukkan peta kitaran angin mengenai cuaca jerebu yang melanda negara ketika ini di Markas Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan jika kadar bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Malaysia terus meningkat melebihi 500.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman berkata, jika keadaan itu berlaku, tindakan akan diambil mengikut garis panduan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan termasuk mengisytiharkan darurat bencana jerebu di kawasan yang terjejas.

“Apabila situasi berada di tahap berkenaan, kita di Nadma akan mengambil tindakan segera dengan membawa perkara ini kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) menerusi Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat.

“Ia membolehkan kerajaan membuat perisytiharan darurat di kawasan terlibat dan apabila ia dilakukan Jawatankuasa Bencana Pusat, negeri, dan daerah perlulah mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan di bawah Pelan Tindakan Kebangsaan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pusat Kawalan Nadma di sini hari ini.

Sehingga jam 4 petang tadi, 12 lokasi di Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, negeri Sembilan dan Sarawak mencatat kualiti udara sangat tidak sihat dengan bacaan IPU melebihi 200.

Mohtar berkata, antara tindakan yang akan dilakukan termasuk mengeluarkan nasihat penutupan pejabat atau premis kerajaan mahupun swasta dan lain-lain tempat bekerja termasuk kilang, ladang, kawasan binaan, kuari serta kerja-kerja tanah serta pemindahan tanah

Bagaimanapun, nasihat penutupan ini dikecualikan untuk sektor-sektor perkhidmatan yang penting seperti yang dinyatakan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Perhubungan Perusahaan perkhidmatan bekalan air dan elektrik, perkhidmatan kesihatan awam, bomba, penjara serta perkhidmatan penyiaran dan televisyen.

Pada masa sama, Mohtar berkata, arahan penutupan semua sekolah, taman didikan dan pusat jagaan kanak-kanak akan dilaksanakan untuk mengelakkan mereka yang berada di kawasan terjejas, terdedah dengan udara tidak sihat sekali gus mengundang risiko terhadap kesihatan.

Artikel Berkaitan:

“Dalam tempoh itu juga, operasi pembenihan awan akan dilakukan bergantung kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai untuk memastikan kejayaan operasi bagi menghasilkan hujan untuk mengurangkan masalah jerebu.

“Selain itu, Jabatan Alam Sekitar akan membuat pemakluman tentang kadar amaran IPU dari semasa ke semasa menerusi siaran media kepada portal, media sosial dan media massa untuk hebahan kepada orang awam,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan pernah mengisytiharkan darurat bencana jerebu sebanyak tiga kali di Kuching, Sarawak pada 19 Sept 1997 apabila bacaan IPU 650; di Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang, Selangor pada 1 Ogos 2005 apabila IPU mencecah 531 serta di daerah Muar dan Ledang, Johor apabila bacaan IPU melebihi 500 pada 23 Jun 2013.

Mengulas situasi terkini jerebu, Mohtar berkata, kerajaan bertindak proakif untuk mengatasi masalah termasuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) untuk menghasilkan hujan.

Pegawai Meteorologi Pusat Kawalan Bencana Negara, Mohamed Azan Abdul Halim menunjukkan kitaran angin dan Indeks Pencemaran Undara (IPU). - Foto Bernama
Pegawai Meteorologi Pusat Kawalan Bencana Negara, Mohamed Azan Abdul Halim menunjukkan kitaran angin dan Indeks Pencemaran Undara (IPU). - Foto Bernama

Setakat ini Nadma bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) dan Tentera Udara Diraja Malaysia telah pun melaksanakan OPA di Putrajaya, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan pada 16 Sept lepas.

“Kita akan teruskan OPA ini dan pada masa terdekat dua buah pesawat TUDM telah bersedia di Labuan dan Subang untuk melaksanakan pembenihan awan esok, bergantung kepada keadaan atmosfera dan laporan cuaca yang dikeluarkan oleh MET,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jerebu: Tiada keperluan tutup sekolah sehingga Jumaat

Beliau berkata, selain itu, kerajaan menerusi Wisma Putra telah mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Indonesia untuk menyatakan kebimbangan tentang isu berkenaan dan memohon negara itu mengambil tindakan tegas untuk mengatasinya.

Menurut laporan terkini yang dikeluarkan oleh Badan Nasional Penanggulan Bencana Indonesia (BNPB) sebanyak 2, 719 titik panas telah dikesan di negara itu dan hingga 14 Sept lalu, sebanyak 328,274 kawasan hektar ladang telah terjejas kebakaran.

Mohtar turut menasihati orang ramai yang berada di kawasan yang bacaan IPU di tahap sangat tidak sihat dan tidak sihat supaya sentiasa berada di kawasan tertutup dan mengurangkan aktiviti fizikal serta luar dan jika perlu hendaklah memakai topeng muka demi kesihatan.

“Minum air yang banyak dan jangan sesekali kita turut menyumbang kepada jerebu dengan melakukan pembakaran terbuka untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Meteorologi Pusat Kawalan Nadma, Mohamad Azan Abdul Razak, mengikut MET masalah jerebu diramal berkurangan pada minggu depan berikutan pola tiupan angin akan bertukar dari arah selatan ke utara sebelum ini kepada timur dan barat berikutan peralihan monsun.

“Sebelum ini angin bertiup dari Selatan ke utara menyebabkan asap kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera tertumpu sepanjang Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan bahagian Barat Sarawak mengakibatkan jerebu.

“Bagaimanapun pada minggu depan, keadaan dijangka berubah berikutan tiupan angin akan bertukar dengan bertiup dari arah timur ke barat dan tidak akan membawa jerebu merentasi negara kita,” katanya. - Bernama